Wahai semua para isteri! Tahukah anda bahawa mentaati serta
menjaga hati suamimu itu lebih penting dari menjaga makan dan minumnya.
Disamping kaum isteri mentaati perintah Allah dan Rasulullah SAW mereka juga
wajib mentaati suami masing-masing. Bacalah kisah puteri kesayangan Rasulullah
SAW ini dan ambillah iktibar dan pelajaran darinya.
Salman Al Farisi r.a telah meriwayatkan pada suatu hari
Fatimah r.ha dalam keadaan tergesa-gesa telah datang bertemu ayahandanya. Baginda
s.a.w melihat kedua mata Fatimah r.ha berlinangan airmata dan raut wajahnya
sedih. Lalu baginda bertanya: Mengapa wahai anakku?
Fatimah r.ha menjawab: Ya Rasulullah, semalam aku bergurau
dengan Ali, tanpa aku sengaja terkeluarlah perkataan yang menyinggung
perasaannya. Setelah itu, aku dapati mukanya kemerahan kerana menahan marah.
Aku sungguh menyesal atas keterlanjuran kataku itu lalu segera memohon maaf
kepadanya: ‘Hai kekasihku, kesayanganku, relakanlah akan kesalahanku’, seraya
aku mengelilinginya dan merayunya sebanyak 72 kali sehingga dia redha dan
tertawa padaku. Walaupun suamiku telah redha tetapi aku masih tetap merasa
takut kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Fatimah r.a: Wahai anakku,
demi Zat yang telah mengutusku sebagai Nabi dengan agama yang haq, sesungguhnya
sekiranya engkau mati sebelum Ali meredhaimu, aku tidak akan solat jenazahmu.
Dizaman moden ini ramai isteri yang berkerjaya serta tidak
kurang juga surirumah yang pandai mencari wang sendiri melalui perniagaan on-line
dan sebagainya. Tidak seperti zaman dahulu dimana isteri bergantung sepenuhnya
kepada suami untuk mencari nafkah. Namun adakah ini boleh dijadikan alasan
untuk melawan cakap suami serta menyebabkan suami terasa hati. Kadang-kadang
bila suami pulang dari kerja bukan disambut dengan senyuman dan salam, tetapi
dengan leteran dan membebel sahaja sehingga suami rasa rimas apabila berada
didalam rumah.
Nasib baik orang lelaki ramai yang boleh bersabar dan simpan
sahaja didalam hati. Ini kerana mereka mempunyai 1 nafsu dan 9 akal berbanding
kaum wanita yang akal tidak sepanjang rambutnya. Mereka mudah marah dan suka
melakukan tindakan melulu dan kadang-kadang nampak seperti tidak rasional.
Mungkin kerana inilah kuasa talak dan cerai Allah SWT letakkan kepada kaum
suami, bukannya kepada isteri.
Tidak semua isteri sedemikian, dan tidak semua suami pun
yang berbuat baik kepada isteri seperti menolong kerja rumah dan mendengar
masalah isteri. Ada suami yang tidak ambil peduli, komunikasi pun jarang dan
hanya mementingkan diri sendiri. Kalau tiada sifat seperti Saidina Ali RA yang
sentiasa bertaqwa serta berjuang kepada agama Allah siang dan malam, mana
mungkin mengharapkan agar isterinya seumpama Saidatina Fatimah R.anha?
Kaum lebih kental jiwa mereka dengan ujian kesusahan dari
segi fizikal dan mental. Mereka mempunyai kesabaran dan kesanggupan untuk
mengandungkan anak selama lebih 9 bulan. Mereka sanggup menahan kesakitan
melahirkan anak kadang-kadang seramai 10 orang. Mereka sanggup berjaga malam
untuk memberi susu kepada anak mereka dan jika anak-anak sakit merekalah yang
paling sedih, risau dan susah hati berbanding suami.
Namun demikian suami tetap ketua keluarga. Tanggungjawab
suami adalah besar, bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada agama dan
masyarakat. Suami bertanggungjawab untuk buat kerja agama, berdakwah, berjihad
dijalan Allah dan wajib pergi solat berjemaah dimasjid. Segala keputusan suami
yang harus lakukan dan isteri wajib taat selagi keputusan itu tidak melanggar
syariat dan perintah Allah SWT.
Syeikh Al-Halwani berkata:-
Isteri mesti berusaha membuat suaminya redha, sesuai dengan
batasan petunjuk yang mulia: “Tidak ada ketaatan terhadap makhluk dalam
kederhakaan terhadap Khaliq.” Ia merupakan kaedah yang utama meliputi beberapa
perkara yang penting. Di antaranya ialah:
- Jangan biarkan suami mencium bau yang busuk dari dirinya.
Pastikan dia sentiasa wangi dan bersih.
- Jangan menyambut kepulangannya dengan memakai pakaian yang
kotor dan comot.
- Menjaga penampilannya.
- Memperhatikan keadaan suami dan menjaga perasaannya.
- Jangan menyuruh suami melakukan pekerjaan rumah yang
seharusnya dilakukan oleh isteri, dengan alasan bahawa Nabi s.a.w.
memerintahkan para suami membantu isterinya menyelesaikan kerja-kerja rumah. Isteri
mesti melakukannya sendiri.
- Menghadapi berbagai masalah dengan lapang dada.
- Memenuhi berbagai ruang, satu persatu.
Dari Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke
atas baginda, ertinya:“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada
seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.”
(Riwayat Imam Tirmizi, hasan sahih, Ibnu Hibban, sahih)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda,
ertinya: Mahukah aku beritahu kamu isteri-isteri yang akan bersama kamu di
dalam syurga? Kata shabat, bahkan beritahulah. Sabda baginda: iaitu setiap yang
menyayangi suaminya, yang banyak anaknya; apabila ia marah atau diperlakukan
dengan tidak baik kepadanya, atau suaminya merasa marah, ia akan berkata kepada
suaminya: ini tangan aku ada pada tangan kamu, aku tidak akan tidur selagi kamu
belum redha kepadaku.”(Mukjam Tabrani Saghir, hadis nombor 118. Kata Ibnu Hajar
al Haitami: Sanad hadis ini sahih kecuali seorang perawi; kata al Munziri saya
tidak tahu kedaannya thiqah atau tidak)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya
selama-lamanya, ertinya:“Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia
ini, melainkan berkatalah isterinya dari kalangan Al-Hurul Ain (bidadari):
janganlah kamu sakitinya, Allah melaknati kamu, suamimu hanyalah tetamumu, tak
lama lagi ia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami.” (Ahmad, Tirmizi
dan Ibnu Majah, Mirqat, 6/370)
Isteri dan suami saling memerlukan bagaikan dua kepak sayap
seekor burung. Tanpa salah satu burung itu tidak mampu terbang. Suami menjadi
pembantu agama dan isteri menjadi pembantu suami dan memberi dorongan dan
sokongan. Hiduplah dengan penuh kasih-sayang dan bertolak ansur semoga Allah
memandang keduanya dengan pandangan Rahmat dan menjadikan rumah kita sebagai
tanda-tanda wujudnya syurga didunia ini. Wallahua’lam.
Redha Suami juga adalah kunci untuk mendapat payung emas. Jika sekarang didunia, kaum hawa sibuk mengumpulkan perhiasan daripada emas dan perak namun Allah menjanjikan Payung Emas kepada kaum hawa, dan untuk mendapatkannya redha suami adalah perlu.
Renungkan..
Tag :
Islam,
Perhubungan