This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Sanggup ambil cuti tanpa gaji

Boleh dikatakan, pelanggannya adalah dari seluruh negeri, sama ada dari utara ke selatan, timur ke barat, Sabah atau Sarawak.

Malah, mereka yang datang tidak mengira umur dan latar belakang.

Meskipun tidak mampu melihat, Pengurus Nuri Reflexology Therapy, Norimah Ahmad, membuka sebuah pusat urut refleksologi yang beroperasi sejak 1995. Pada awalnya Norimah tidak berminat membabitkan diri dalam bidang mengurut, malah tidak pernah mencubanya sejak kecil.

Ketika itu dia bertugas sebagai pengajar kraftangan di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields. Sewaktu awal 80-an, pasaran untuk pusat urut wanita mula berkembang dan semakin mendapat perhatian masyarakat tempatan. Justeru, MAB menyarankan Norimah mencuba kursus urut refleksologi daripada pakar luar negara.

"Pada mulanya saya menolak kursus terbabit, namun selepas mempelajari anatomi dan fisiologi selama seminggu, saya berasa seronok. Selepas mahir dengan urutan itu, saya teruskan dengan memberi latihan dan didikan kepada pelatih cacat penglihatan di sana. Hampir 22 tahun saya berkhidmat iaitu dari 1980 hingga 1994," katanya.

Dengan cekal dan tabah Norimah mencuba perniagaan dengan membuka sebuah pusat urut refleksologi. Menerusi bantuan dan latihan keusahawanan dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji sebelum membuka sebuah pusat refleksologi.

"Ketika itu, belum ada lagi orang Melayu yang membuka sebuah pusat urut apatah lagi mentaliti masyarakat menganggap perkhidmatan mengurut hanya dijalankan di kawasan perkampungan.
"Bermula dari sebuah premis kecil dengan sebuah katil, saya berpindah ke premis lebih sesuai dan selesa untuk memenuhi kehendak pelanggan," katanya.

Mengenai reaksi keluarganya Norimah menjawab, "keluarga terutama emak dan ayah tidak tahu mengenai kursus terbaru itu, namun selepas lima ke enam tahun barulah mereka tahu. Mereka terkejut selepas mengetahui saya membuka sebuah pusat refleksologi. Itupun, selepas saya ditemuramah dengan stesen televisyen," jawabnya sambil ketawa.

Norimah menempuhi pelbagai halangan terutama dari segi kewangan dan kepercayaan, apabila satu demi satu cawangan pusat refleksologi yang dibuka terpaksa ditutup.

"Cawangan terakhir di Lapangan Terbang Langkawi, Kedah yang dibuka sejak 2010.

"Tidak dinafikan, kos sewa yang tinggi antara sebab saya menutup cawangan ini, tetapi pekerja yang cacat penglihatan juga mahukan suasana sosial dalam komuniti mereka sendiri, namun tidak wujud di sana," ujarnya yang bahagia bersama dua cahaya mata.

PERKHIDMATAN

Nuri Reflexology Therapy menyediakan pelbagai perkhidmatan seiring dengan kehendak masyarakat hari ini. Perkhidmatan terbabit mempunyai unsur gabungan tradisional dan saintifik hasil penyelidikan dan pembelajaran yang diperolehnya dari China, Jepun, Perancis, Itali, India dan Jerman selain di Asia Tenggara. Penyelidikan lebih 10 tahun itu menepati piawaian refleksologi antarabangsa.

"Rawatan refleksologi dan urut seluruh badan mampu melegakan pelbagai penyakit, melancarkan pengaliran darah, merawat lenguh dan sakit otot serta ketegangan atau tekanan. Teknik urutan yang tepat mampu mengatasi beberapa penyakit seperti sawan, migrain dan angin ahmar, namun perlu dilakukan berulang kali selain mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Urutan di bahagian tapak kaki mempunyai hubungan atau kaitan dengan saraf dan organ dalaman manusia yang selari dengan prinsip sains iaitu refleksi di bahagian kaki berhubung kait dengan semua kelenjar organ bahagian badan," katanya.

Menurut Norimah, setiap pekerjanya diberi latihan mencukupi bagi membolehkan mereka lahir sebagai juruterapi profesional.

"Meskipun, kakitangan saya cacat penglihatan, kemahiran mereka setanding berbanding orang normal. Walaupun tidak dapat melihat, tangan yang merawat itu mampu mengetahui penyakit yang dihidapi pelanggan dan membantu memulihkan agar pelanggan," katanya.

Selain urutan refleksologi, premis ini turut menyediakan perkhidmatan akupunktur, bekam angin dan hidroterapi. Perniagaan yang dijalankan juga tidak bertentangan dengan syarak kerana pelanggan lelaki hanya diurut juruterapi lelaki dan begitulah sebaliknya. Kadar bayaran yang dikenakan juga bersesuaian dengan perkhidmatan yang disediakan iaitu RM50 untuk refleksi kaki, urut seluruh badan (RM60), urut kanak-kanak dari RM30 hingga RM60, akupunktur kurang dari RM100, bekam angin (RM60) dan urut rumah ke rumah pula bergantung pada jarak kawasan dan mampu dilanggani semua peringkat lapisan masyarakat.

PERSAINGAN

Kewujudan pusat urut yang menyediakan perkhidmatan tambahan sama ada khidmat hubungan seks dan urutan seks agak berleluasa ketika ini. Pekerja asing dari China, India, Indonesia, Filipina dan Myanmar dijadikan umpan untuk menarik perhatian pelanggan tidak mengira bangsa. Menurutnya, masyarakat perlu mempunyai kesedaran agar tidak menyokong perkhidmatan hubungan dan urutan seks kerana ia mampu meruntuhkan akhlak masyarakat.

"Perkara itu bukan saja dilarang dalam Islam, malah mampu menyebarkan penyakit akibat perlakuan seks bebas. Usaha pihak tertentu membabitkan jabatan kesihatan, polis dan pihak berkuasa tempatan diharap dapat membendung gejala tidak , sekali gus menutup peluang mereka beroperasi," katanya.

Pada masa yang sama, Nuri Reflexology Therapy bakal melalui proses penjenamaan semula dan dikenali sebagai Nuri Wellness Centre bagi mengembangkan dan mempertingkatkan perkhidmatan sedia ada.
Dia mengalu-alukan orang kelainan upaya (OKU) dan cacat penglihatan untuk mempelajari seni urut refleksologi dan bersedia memberi latihan dan peluang pekerjaan kepada mereka.

"Belum ramai usahawan Bumiputera terbabit secara aktif dalam bidang ini. Jika peluang disediakan, pasti lebih ramai orang kurang upaya dapat peluang pekerjaan," katanya.

Hubungi Norimah di Lot 3.25 tingkat 2, bangunan Medan MARA, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk maklumat lanjut.

Tag : Personaliti
0 Komentar untuk "Sanggup ambil cuti tanpa gaji"
Back To Top