PERCUTIAN tanpa rencana bersama kenalan yang ingin memulakan
perniagaan kain membawa penulis ke Vietnam. Sebelum berangkat, pelbagai
versi cerita yang menakutkan diberitahu oleh rakan-rakan yang pernah
berkunjung di negara itu.
Sejenak memikirkan perkara itu membuatkan bulu roma menegak di
seluruh tubuh badan. Bagaimanapun, keterujaan penulis untuk melihat
negara yang dikenali sebagai syurga kain dalam kalangan wanita itu tidak
pernah luntur.
Alhamdulillah, dengan bajet bawah RM2,000, kehidupan selama empat
hari tiga malam di Vietnam umpama jutawan. Masakan tidak, pertama kali
memegang duit jutaan nilainya selepas ditukar kepada mata wang Vietnam
Dong (VND).
Walapun jumlah wang tunai sebanyak VND12,875.667 terselit dalam
dompet penulis, setiap kali tiba waktu makan, dilema berjimat-cermat
pasti menghantui diri.
Makanan halal
Agak sukar untuk mencari sumber makanan halal di Vietnam. Bagi satu set makanan tengah hari lazimnya mencecah RM20.
Sehinggakan penulis terpaksa mengubah corak pemakanan iaitu sehari
sekali sahaja di gerai mi sup berdekatan Hotel Hoang Hai Long yang
menjadi tempat penginapan penulis sepanjang berada di Vietnam.
Jika kebanyakan pelancong sudah mula sibuk pada hari pertama berjalan
di lokasi percutian, lain kisahnya bagi penulis dan rakan-rakan.
Kami sekadar menghabiskan masa di sekitar hotel yang secara kebetulan
berdekatan dengan Pasar Ben Thanh. Suasana di dalam pasar berkenaan
terlalu gamat dengan suara peniaga mempromosikan barangan masing-masing.
Malah ada peniaga dengan selamba menarik tangan pelanggan semata-mata
mahu menjual produk mereka. Perasaan tidak selesa mula menghantui diri.
Namun, mereka bijak memujuk pelanggan sehingga barangan mereka
dijual. Ada sahaja bahasa manis yang digunakan. Majoriti peniaga di situ
adalah dalam kalangan wanita.
Membeli-belah di sekitar Pasar Ben Thanh umpama perang saraf antara
peniaga dan pelanggan. Lazimnya, harga yang diletakkan sangat tinggi,
tetapi jika bijak bermain kata-kata, anda mampu membeli sepasang
telekung pada harga RM25 iaitu separuh daripada harga asal.
Terdapat juga peniaga yang fasih berbahasa Melayu, bagaimanapun
kebanyakan sesi membeli-belah penulis dan rakan-rakan menggunakan
kalkulator sebagai alat komunikasi utama.
Caranya mudah. Pilih barang yang anda minat kemudian nyatakan harga
pada kalkulator. Sekiranya peniaga berkenaan enggan, tinggalkan gerai
berkenaan dan dia pasti mengejar seterusnya bersetuju dengan harga yang
ditawar.
Tetapi awas. Sekiranya persetujuan dicapai, anda perlu membeli barangan berkenaan.
Oleh kerana tujuan asal rombongan untuk mencari kain pasang,
perkenalan singkat bersama seorang penduduk tempatan yang juga pemandu
pelancong membawa kami ke pelbagai lokasi kilang kain di sekitar Ho Chi
Minh.
Borong
Setiap kilang ini hanya menjual kain dengan konsep borong. Terdapat
juga baju kurung yang dijual serendah RM50 dengan pelbagai hiasan manik.
Lazimnya harga baju seperti itu di Malaysia dijual sehingga RM200
atau lebih. Bayangkan sepasang kain kapas berkualiti hanya berharga RM25
sahaja.
Sepanjang melawat di kilang tersebut, duit penulis bagaikan air yang
sedang mengalir. Walaupun kebanyakan kain khas untuk wanita, tetapi
pelbagai pilihan yang ada membuatkan penulis rambang mata.
Selepas menyedari duit dipoket semakin susut, kami menenangkan perasaan dengan menghirup kopi asli Vietnam.
Kami menikmati kopi tersebut menerusi peniaga kopi bermotosikal yang
lalu di hadapan hotel kami menginap. Harganya RM3.50 secawan.
Hari-hari terakhir di Vietnam dihabiskan dengan melawat Terowong Cu
Chi yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari bandar Ho Chi Minh.
Menurut pemandu pelancong, rangkaian terowong bawah tanah tinggalan Perang Vietnam itu sepanjang 200 km.
Sebelum terbang ke Malaysia pada pukul 8 malam mengikut waktu tempatan, kami menghabiskan masa di Muzium Perang Vietnam.
Pada pendapat penulis, Vietnam adalah lokasi percutian bagi mereka yang gemar membeli-belah.