Kuala Lumpur: Selepas kisah mengenai kehidupan pramugari dan pramugara semalam, ikuti pula proses yang perlu dilalui sebelum seseorang calon itu diterima bekerja. Selain itu, aktres jelita, Rozita Che Wan juga berkongsi pengalamannya sebagai bekas pramugari.
Selain rupa paras dan personaliti, kekuatan mental juga perkara penting untuk menjadi kru kabin.
Bukan mudah untuk melayani kerenah penumpang dan pada masa sama kru kabin perlu memastikan penumpang sentiasa mematuhi prosedur keselamatan terutama ketika berlaku kecemasan.
Ia memerlukan kesabaran tinggi terutama ketika melayani penumpang yang cerewet dan panas baran.
FARHANA menjalani tugas sebagai jurulatih di Akademi AirAsia.
Menurut jurulatih di Akademi AirAsia, Farhana Ahmad Faisal, 39, untuk menghadapi semua cabaran itu, seseorang yang ingin menjadi kru kabin perlu terlebih dulu menjalani kursus dan latihan dalam tempoh tertentu.
Katanya, latihan itu merangkumi pelbagai aspek membabitkan personaliti kru kabin dan paling utama keselamatan penumpang.
“Di Akademi AirAsia, seseorang yang hendak menjadi kru kabin perlu menjalani latihan berkenaan selama sebulan setengah. Selain persiapan personaliti dan perkhidmatan, kru kabin dilatih aspek keselamatan seperti latihan kebakaran, ‘survival’ di udara serta bantuan kecemasan terhadap penumpang,” katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.
Farhana berkata, meskipun dibebani latihan sedemikian, ia bukanlah terlalu sukar untuk dilakukan dan hanya satu peratus saja yang biasanya gagal dalam ujian berkenaan.
“Setiap sistem penerbangan akan melakukan latihan sama mengikut standard antarabangsa, tetapi ia bukanlah terlalu sukar. Sebenarnya, minat kunci utama kepada seseorang yang ingin menjadi kru kabin. Personaliti, rupa paras dan sikap mesra hanya bonus tambahan mendapatkan kerjaya ini,” katanya.
Mengenai pendapatan seorang kru kabin, Farhana berkata, ia memang cukup lumayan, lebih-lebih lagi ia hanya memerlukan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) saja.
“Di AirAsia, kru kabin diberikan gaji asas tidak termasuk elaun penerbangan dan komisen dalam penerbangan. Jika rajin, seseorang kru kabin boleh mendapat pendapatan melebihi RM5,000 setiap bulan. Di kapal terbang, kerja kru sebenarnya tidak begitu rumit, apa lagi bagi yang berpengalaman. Bahkan, ramai kru lebih seronok berada dalam kapal terbang berbanding menghabiskan masa di pejabat saja,” katanya.
Farhana mula menyertai AirAsia sejak 1997 lagi. Selain menjadi jurulatih kru kabin, Farhana juga adalah Eksekutif Kakitangan Penerbangan di syarikat berkenaan.
“Ramai beranggapan, karier sebagai kru kabin sampai bila-bila terperap sebagai kru atau anak kapal saja, tanggapan itu silap. Di AirAsia, kru berpeluang menduduki jawatan lebih tinggi asalkan komitmen baik bersama syarikat. Bidang ini pun cukup luas,” katanya.
0 Komentar untuk "Muka cantik tak cukup"