Masa sesuai tarbiah diri lakukan perubahan
Kita sudah menghampiri pertengahan Ramadan yang penuh keberkatan. Pastinya kita telah mengorak langkah dan mencapai kenikmatan mengerjakan ibadah termasuk solat sunat Tarawih. Namun, langkah yang telah dimulakan harus sentiasa dikemas kini.
Ganjaran pahala berlipat ganda
Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (di jalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah at-Taghaabun, ayat 16)
Apakah kita semakin berasa kelazatan dalam beribadah dan kehidupan semakin berubah mengikut panduan Ramadan yang berkat, seterusnya mendapat maghfirah dan rahmat Allah SWT. Selari keberkatan bulan penuh rahmat ini, Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda untuk mereka yang sentiasa mencari dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Bagaimanakah untuk meraih ganjaran pahala yang hebat itu? Kita hendaklah mempunyai keinginan dan keazaman kuat. Keinginan ini harus disokong dengan pengetahuan yang benar dan penghayatan terhadap nilai sesuatu amalan berlandaskan ajaran Islam.
Contohnya, bagi menggalakkan umat Islam berpuasa Ramadan, kita dituntut menunaikannya dengan iman dan ihtisab iaitu menjiwai ganjarannya. Menjalani latihan dalam tempoh masa berterusan. Sedarlah, kita sebenarnya diberi satu tempoh yang mencukupi untuk faedah jasmani dan rohani. Latih tubi pelbagai aktiviti sama ada yang fardu atau sunat yang kita jalani setiap waktu perlu dilaksanakan dengan semangat.
Yakinlah hasil daripada latihan ini, kita diberikan bekalan dan tenaga yang mampu untuk dimanfaatkan dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Jika nikmat dikecapi tanpa henti itu adalah maghfirah dan keampunan Allah, sudah pasti tiada ruang untuk tabiat buruk menguasai diri seseorang.
Puasa Ramadan mengandungi didikan untuk setiap lapisan masyarakat merangkumi tarbiah zahir dan batin. Umat Islam yang ingin melakukan perubahan sebenarnya bukan bersendirian, tetapi bersama orang lain yang inginkan perubahan ke arah kebaikan.
Keprihatinan satu pihak terhadap pihak lain dalam ujian yang dihadapi dapat meringankan bebanan seterusnya membantu mereka merebut rahmat Allah dan keampunanNya pada bulan mulia ini.
Ketahuilah takwa adalah hasil yang diharapkan daripada amalan pada Ramadan. Ia akan menjadi bekalan orang beriman dan perisai supaya manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat serta kejahatan. Usahlah kita lalai dan leka daripada memanfaatkan bulan yang hanya tiba sekali dalam setahun ini kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput. Bayangkanlah, apakah nasib dan balasan yang akan diterima jika kita menemui ajal dalam keadaan lalai serta tidak sempat bertaubat.
Maka, bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT, ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia juga tidak akan membiarkan maksiat berterusan.
Takwa bukan perkara mudah dicapai
Percayalah, takwa yang menjadi tujuan utama kita berpuasa bukan perkara mudah yang hendak dicapai. Bahkan sahabat pun melahirkan kerisauan membentuk sebenar-benar takwa sehingga turun ayat al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (di jalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah at-Taghaabun, ayat 16)
Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam, tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk mencari maghfirah sebagai satu inspirasi kehidupan. Penuhilah ruang dan masa sepanjang bulan ini dengan perkara kebajikan, kebaikan dan berpahala.
0 Komentar untuk "Khutbah Jumaat: Ramadan ruang buat kebajikan"