MINYAK ikan memberi sumbangan secara tidak langsung ke arah mengurangkan berat badan .
Jika sukar untuk mengatasi godaan makanan itu, ada baiknya anda mula melakukan rutin dengan mengambil minyak ikan sebagai makanan tambahan.
Seorang penyelidik dari Universiti Liverpool telah melakukan kajian terhadap sumbangan minyak ikan yang mengandungi asid omega-3 bagi mengurangkan kesan terhadap pengambilan makanan ringan.
Ketua Penyelidik dari Institut Penuaan dan Penyakit Kronik di Universiti Liverpool, Dr. Lucy Pickavance memberitahu, berat badan dipengaruhi oleh banyak faktor.
Menurutnya, salah satu faktor terpenting yang mempengaruhi pertambahan berat badan adalah kerana pengambilan makanan.
"Pengambilan makronutrien yang berlebihan, gula kilang dan lemak tepu yang terdapat dalam makanan ringan menyebabkan peningkatan berat badan, mengganggu kadar metabolisme selain memberi kesan ke atas otak. Perubahan itu dapat dilihat pada struktur otak, termasuk kemampuan untuk melakukan proses pembentukan sel saraf yang baharu. Ia menyebabkan obesiti dan mempunyai kaitan dengan kehilangan fungsi saraf," katanya.
Menurut Pickavance, minyak ikan kelihatan tidak menyebabkan penurunan berat badan secara langsung.
Bagaimanapun, katanya, minyak ikan mungkin menghalang kesan-kesan buruk yang berlaku di dalam otak akibat pengambilan diet yang mempunyai kandungan lemak tinggi. Menurutnya, pengambilan diet yang mempunyai minyak ikan atau makanan tambahan ikan merupakan langkah yang positif ke arah untuk memperbaiki tahap kesihatan.
0 Komentar untuk "Minyak ikan dapat mengurangkan kesan makanan ringan"