SEORANG rakan mengeluh kerana cuaca di Malaysia sangat panas. Beliau juga menjangkakan suhu semakin hangat pada minggu-minggu yang akan datang. Pada masa ini, kebanyakan tempat di negara ini dilanda cuaca panas dan kering. Menurut pakar kaji cuaca, keadaan ini mungkin berlanjutan sehingga September 2013.
Menurut laporan berita, Subang di Selangor mencatat suhu setinggi 36.2 darjah Celsius pada 7 Jun lalu manakala suhu di ibu kota Kuala Lumpur mencecah 36 darjah Celcius pada 4 Jun lalu. Media juga memetik Pengarah Pusat Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong sebagai berkata, cuaca panas yang melanda negara pada masa ini hasil kombinasi beberapa faktor.
"Musim Monsun Barat Daya biasanya membawa cuaca panas dan kering. Tetapi suhu dan haba meningkat dengan kedatangan ribut tropika dari Filipina dan tekanan rendah di Lautan Hindi," katanya.
Bagaimanapun, cuaca panas ini belum mencapai tahap gelombang panas.
Menurut statistik Jabatan Meteorologi, hari paling panas di Malaysia dicatat pada 18 Mei lalu iaitu di Chuping, Perlis. Suhunya mencecah 38.9 darjah manakala beberapa tempat di Melaka turut mencatat tahap kepanasan 38 darjah Celcius.
Seseorang yang terdedah kepada suhu panas menghadapi risiko keletihan dan mungkin juga mengalami strok. Penyakit bersangkut paut dengan cuaca panas telah menyebabkan kematian beribu-ribu orang pada dekad-dekad yang lampau.
Pada tahun 1980, gelombang panas di Amerika Syarikat menjadi punca kematian 1,250 orang manakala 50,000 lagi mati semasa gelombang panas melanda benua Eropah pada tahun 2003.
Apakah itu fenomena gelombang panas?
Gelombang panas
Gelombang panas berlaku apabila suhu semasa adalah lebih tinggi daripada suhu normal setempat. Menurut pakar kaji cuaca, suhu bagi orang yang berasal dari kawasan panas yang dianggap normal boleh menjadi gelombang panas di daerah yang biasanya mempunyai suhu lebih rendah. Gelombang panas yang teruk dikenal pasti sebagai punca kematian akibat hipertemia iaitu suhu badan meningkat menjadi amat panas. Ia juga boleh menjadi penyebab gangguan bekalan tenaga berikutan peningkatan penggunaan alat pendingin hawa.
SEORANG lelaki di New Delhi, India membasuh muka ekoran cuaca yang sangat panas iaitu melebih 45 darjah Celsius pada 24 Mei lalu. - Gambar hiasan
Pakar juga menjelaskan, gelombang panas merupakan satu situasi suhu tinggi selama beberapa hari yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada individu yang terdedah kepada cuaca berkenaan. Gelombang panas terjadi apabila suhu tinggi luar biasa berlangsung selama beberapa hari. Ia juga boleh berlaku dalam waktu yang singkat dengan pertambahan suhu secara mendadak. Di sebalik cuaca panas, warga Malaysia belum diserang gelombang panas sehingga hari ini, jelas pihak berkuasa berkaitan.
Seorang pegawai jabatan berkenaan yang enggan namanya disiarkan menerangkan, musim panas kini disebabkan angin Monsun Barat Daya yang biasanya membawa awan yang sedikit.
"Ini mendedahkan kita kepada lebih sinar matahari dan panas terik. Biasanya suhu ketika ini sekitar 33 darjah tetapi kita mengalami suhu 34 hingga 35 darjah Celcius," kata beliau.
Pegawai itu menjelaskan, catatan suhu itu belum mencecah suhu yang dianggap gelombang panas tetapi seandainya melebihi 37 darjah, barulah Malaysia mengalami apa yang dikatakan sebagai gelombang panas seperti yang dicatat kali terakhir semasa fenomena El Nino pada tahun 1998.
Sementara itu, pakar-pakar kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah melainkan mereka perlu menjalani aktiviti harian.
Jauhi panas terik
"Minum banyak air jika anda perlu keluar rumah. Anda juga dinasihatkan tinggal di dalam rumah yang memiliki kelengkapan pendingin hawa ataupun yang mempunyai pengudaraan yang mencukupi. Walaupun terpaksa keluar rumah, jauhilah daripada panas terik matahari. Elakkan daripada melakukan aktiviti lasak dan pastikan minum air setiap jam walaupun anda tidak berasa dahaga," nasihat pengamal perubatan, Dr. Shuhaimi Jamil dari Rawang, Selangor.
Bagaimanapun, Shuhaimi mengingatkan pesakit yang terpaksa minum air dalam kuantiti terhad seperti pesakit buah pinggang supaya mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu. - Bernama
0 Komentar untuk "Malaysia dilanda cuaca panas"