Oleh
Unknown
21 April 2013
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh
pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di
Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam
pilihanraya umum 5 Mei ini. Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari
ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat
penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada
Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan
tiba.
Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi
yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari. Sudah
tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa
mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman. Isu logo
sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia
melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.
Dari sudut
yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai
detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia
ditubuhkan. Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering
dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu,
pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga
sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej
PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya. Natijahnya, Melayu Islam
dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu
sama lain.
Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya.
DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila
bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan
yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai
majoriti pengundi Cina. Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS
sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia
masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah
hilang.
Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian
Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin
Mekkah. Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk
Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan
Islam Madinah. Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji
dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian
tersebut berat sebelah. Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh
Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW
menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani
Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan
Islam diserang oleh kaum Musyrikin.
Alhamdulillah, ketika UMNO
masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula
diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan
perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah
dengan slogan PAS for All. Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu
membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka
membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.
Saya yakin,
benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP
ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat
perjuangan Islam. Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal
membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia
mengandungi rahmat yang sangat besar. Jika Perjanjian Hudaibiyyah
membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah
kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya
dan pembinaan Malaysia Baru. Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti,
perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh
negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.
Yakinlah
keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman.
Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!
Salam hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Tag :
PRU-13
0 Komentar untuk "Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan,... Disalik Sebuah Konspirasi"