SAINTIS barat, William Harvey sering diberi pengiktirafan rentetan
penerangan yang diberikan tentang pulmonari iaitu bagaimana darah
mengalir antara jantung dan paru-paru pada kurun ke-16.
Namun, tahukah kita bahawa apa yang diperkatakan Harvey telah pun digambarkan dengan tepat oleh Ibn Nafis 300 tahun lebih awal.
Merupakan seorang doktor terulung Islam pada zamannya, Ibn Nafis
banyak menulis buku mengenai ilmu perubatan dan karyanya yang paling
terkenal ialah buku tentang fungsi jantung dan paru-paru.
Dilahirkan pada tahun 1210 Masihi dan meninggal dunia pada 1288
Masihi, beliau merupakan individu pertama yang menerangkan struktur dan
fungsi paru-paru serta peredaran darah dengan tepat.
Malah, beliau juga memberitahu tentang fungsi injap jantung dan
kapilari iaitu pembuluh kecil yang menghubungkan arteri dan salur darah.
Keagungan saintis Islam
Pencapaian dan kehebatan Ibn Nafis itu merupakan sebahagian daripada
input yang boleh diterokai pada Pameran Sultans Of Science (SOS) yang
sedang berlangsung di Petrosains, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed
Ibrahim berkata, SOS ialah satu pameran bergerak terbaharu yang
bertemakan Penerokaan Semula Sains Islam bertarikh 700 hingga 1700
Masihi.
“Ia bertujuan untuk meraikan sumbangan cendekiawan Muslim dalam
bidang sains dan teknologi terhadap kehidupan masyarakat moden hari ini.
“Pameran ini menampilkan tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina,
Al-Jazari, Ibnu Haytham, Ibnu Firnas, Al-Kindi, Banu Musa, Ibnu Khaldun,
Al-Zahrawi, Al-Razi, Al-Kindi dan ramai lagi. Ia merangkumi sembilan
bidang utama saintifik Islam iaitu matematik dan navigasi, astronomi,
perubatan, pembuatan peralatan, ciptaan dan teknologi halus, optik,
kejuruteraan, seni bina serta penerbangan,” ujar Tengku Nasariah kepada
Kosmo!.
Berlangsung selama enam bulan bermula 15 Disember 2012 hingga 15 Jun
2013, pameran itu sesuai dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat
terutama para pengunjung yang berkeluarga.
Sempena pameran itu juga, Petrosains turut mengadakan
aktiviti-aktiviti menarik seperti pertunjukan sains Stand Up iaitu
fasilitator membuat persembahan dengan menggunakan anggota badan tanpa
perlu sebarang alatan tambahan.
|
|
Selain itu, terdapat pertunjukan sains mini seperti Sun Dial untuk
belajar mengenai jam berdasarkan cahaya matahari, Defying Gravity yang
membolehkan pengunjung mengetahui tentang sifon atau hos, manakala Spicy
Perfume pula memberi maklumat tentang haruman yang diperbuat daripada
rempah-ratus.
Tidak ketinggalan, turut diadakan bengkel Automata Cardboard dan The
Tales of Tangram & Tesselation yang menerangkan tentang kejuruteraan
dan matematik. Pada setiap hujung minggu pula, Petrosains akan
menganjurkan aktiviti istimewa iaitu seni tulisan kaligrafi dan lukisan
henna.
Apa yang pasti, semua peralatan yang dipamerkan pada pameran itu
bersifat interaktif dan boleh dicuba oleh pengunjung sekali gus merasai
keseronokan terhadap ciptaan hebat cendekiawan Islam.
Menurut Tengku Nasariah, pameran bertaraf antarabangsa itu direka
serta dihasilkan oleh MTE Studios, satu syarikat konsultasi yang
memfokus kepada rekaan dan hiburan.
“Pameran ini berasal dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan ia
telah dipamerkan di beberapa negara lain seperti Afrika Selatan, Kanada,
Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand sebelum diadakan di
Petrosains, Suria KLCC, Kuala Lumpur,” tambah beliau.
Apabila menerokai keseluruhan pameran itu, pengunjung akan dapati
banyak penemuan, pencapaian dan penciptaan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang
mengagumkan.
Boleh dikatakan usaha mereka itu membuka dan merintis laluan buat
pengkaji dan saintis Barat yang secara tidak langsung memberi inspirasi
kepada tercetusnya penghasilan produk berteknologi tinggi.
Ia sekali gus mengangkat dan membina ketamadunan manusia yang lebih sempurna seperti yang telah kita kecapi pada zaman ini.
Tambah ilmu
Profesor Madya Faridah Adnan mengakui, teruja apabila berpeluang mengunjungi pameran tersebut bersama anaknya baru-baru ini.
“Segala maklumat dan contoh-contoh peralatan yang dipamerkan sangat
menakjubkan. Ia mampu membuka mata dan minda kita tentang kehebatan para
saintis dan cendekiawan Islam dahulu kala sekali gus boleh dicontohi
generasi muda masa kini.
“Kita perlu membuat perubahan dan menjalankan lebih banyak
penyelidikan terutama dalam bidang sains kerana ilmu Allah ini terlalu
luas untuk diterokai.
“Hakikatnya, lebih banyak kita kaji, lebih banyak yang kita tidak
ketahui kerana apa yang ada di bumi dan alam cakerawala diibaratkan
hanyalah setitis daripada lautan ilmu Allah,” terang Faridah yang
merupakan pensyarah di Fakulti Senibina dan Perancangan Ukur, Universiti
Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Tag :
Pengetahuan
0 Komentar untuk "Kehebatan cendekiawan ISLAM"