ALI (kiri) bersalaman dengan
sebahagian penjawat awam pada majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara
2013 di PICC, Putrajaya semalam.
|
PUTRAJAYA - Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga
lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum
atau 'gaji mati' pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk
Seri Ali Hamsa.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian
teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan
cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian
Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan
tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.
"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.
"JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti
rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam
kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap
statik.
"Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi
kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik
bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang,"
katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum itu, Ali menyampaikan amanat kepada kira-kira 4,000 penjawat
awam daripada pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi sidang video
itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara.
Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam turut memainkan
peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia
di persada antarabangsa. - Bernama
0 Komentar untuk "Penetapan gaji mati staf awam diumum Februari ini"