DEFINISI MISKIN TEGAR
Sesebuah isi rumah adalah dianggap sebagai miskin tegar sekiranya
pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada Paras Garis
Kemiskinan (PGK) makanan, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi
membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi
makanan yang minimum yang membolehkan setiap ahlinya mempunyai tubuh
badan yang sihat.
PLI miskin tegar adalah diukur berdasarkan
kepada komposisi demografi ahli isi rumah iaitu bilangan isi rumah, umur
dan jantina bagi menentukan keperluan diet atau kalori (Keperluan
Harian Diperlukan atau Recommended Daily Allowance (RDA) 2004,
Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia). PLI juga
mengambil kira harga jualan semasa bagi membeli keperluan harian
tersebut berdasarkan lokasi mengikut Negeri dan Strata (Bandar atau Luar
Bandar). PLI akan dikira berdasarkan kepada keperluan setiap isi rumah
dan Indeks Harga Pengguna atau Consumer Price Index (CPI) makanan.
Keperluan Kalori bagi setiap isi rumah dikira berdasarkan kepada
struktur demografi setiap isi rumah seperti umur, berat, jantina dan
kadar metabolasi badan atau basal metabolic rate (BMR) mengikut paras
aktiviti fizikal atau physical activity level (PAL) setiap isi rumah.
Sejumlah 8,725 kalori setiap hari adalah diperlukan (untuk 5 Orang
setiap isi rumah) berdasarkan kepada 7 kategori makanan yang meliputi 13
jenis makanan iaitu :
- nasi;
- tepung gandum;
- biskut;
- ayam;
- telur;
- ikan;
- susu;
- minyak masak;
- majerin;
- gula;
- buah-buahan;
- sayur-sayuran; dan
- kacang.
(Berdasarkan kepada Komposisi Nutrisi Makanan Malaysia, IMR 1997)
Sehubungan itu, merujuk kepada Unit Perancang Ekonomi, Paras Garis
Kemiskinan Tahun 2012 selaras dengan Rancangan Ekonomi Kesepuluh
(RMK-10), Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan yang telah ditetapkan
untuk isi rumah miskin tegar berdasarkan kepada kiraan di atas adalah
RM520 seisi rumah.
DEFINISI MISKIN
Sesebuah isi rumah adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan
isi rumah tersebut adalah kurang daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK),
iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut
memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang
membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.
PLI
bukan makanan adalah manggunakan kiraan Bank Dunia di dalam menentukan
keperluan minima perkhidmatan dan bukan makanan. Keperluan ini dikira
berdasarkan kepada perbelanjaan keseluruhan isi rumah dengan mengambil
kira PLI makanan (isi rumah yang berada pada jurang 10% di atas dan 10%
di bawah PLI makanan). Ini akan menunjukkan jumlah perbelanjaan sebenar
termasuk komponen bukan makanan untuk membolehkan sesebuah isi rumah
tersbut berfungsi di dalam masyarakat.
PLI akan dikira
berdasarkan kepada keperluan setiap isi rumah dan Indeks Harga Pengguna
atau Consumer Price Index (CPI) makanan dan bukan makanan mengikut
Negeri dan Strata (Bandar dan LuarBandar).
PLI bukan makanan akan mengambil kira keperluan asas seperti berikut:
- Pakaian;
- Sewa, Minyak dan Elektrik;
- Perkhidmatan asas;
- Pengangkutan dan komunikasi; dan
- Lain-Lain
Sehubungan itu, merujuk kepada Unit Perancang Ekonomi, Paras Garis
Kemiskinan Tahun 2012 selaras dengan Rancangan Ekonomi Kesepuluh
(RMK-10), Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan bukan makanan yang
telah ditetapkan untuk isi rumah miskin berdasarkan kepada kiraan di
atas adalah RM830 seisi rumah.
0 Komentar untuk "Miskin"