Ramai yang bercakap, tak ada apa yang menarik di Bukit
Fraser. Sebenarnya, minat yang menarik kita berkunjung. Tiap tempat ada
keistimewaannnya yang tersendiri.
Bagi pencinta alam, Bukit Fraser adalah kawasan tanah tinggi yang
mempunyai pelbagai jenis flora dan fauna yang tidak terusik dengan
kepesatan pemodenan. Bangunan seni bina gaya Inggeris masih tersergam
indah dan antaranya ialah balai polis yang dibina pada tahun 1919.
Suhu dingin sekitar 20 hingga 23 darjah Celsius dengan ketinggian
1,524 meter di atas paras laut memberi panorama redup dan lembab dengan
aroma udara yang segar. Jaraknya lebih kurang 100KM dari Kuala Lumpur
menjadikannya sebagai lokasi persinggahan sehari sambil
menikmati gaya dan suasana kehidupan sederhana desa Inggeris.
Walaupun mengalamai pengalaman mendaki yang memeritkan sewaktu
menempuh jalan raya yang berliku-liku , sebaik menjejak ke destinasi
ini, kedamaian yang terpampang didepan mata seolah-olah telah mengganti
segala rasa tersebut.
Persekitaran suhu yang dingin dengan bunga subur berkembang memberi
satu perasaan tenang, damai dan menyegarkan . Biarpun aktiviti
pelancongan di sini tidak semeriah di Genting Highland dan Cameron
Highland, tetapi Bukit Fraser yang juga di kenali sebagai The Little
England of Malaysia ini punya keistimewaan tersendiri.
Salah satu tempat yang menarik di Bukit Fraser adalah Taman Flora Bukit Fraser ( Fraser’s Hill Garden Center ).
Untuk ke lokasi ini, sampai saja di dataran bulatan Menara Jam,
terus mendaki ke arah kanan sehingga bertemu simpang tiga. Ambil arah ke
kiri sehingga bertemu simpang dan ambil arah ke kiri sekali.
Strawberry juga ditanam di Bukit Fraser.
Bersebelahan Taman Flora Bukit Fraser adalah Allan’s Water, sebuah
tasik kecik yang merupakan taman untuk aktiviti rekreasi . Pada asalnya
kawasan tadahan ini dibina oleh FH Allan untuk membekalkan air kepada
penduduk Inggeris yang pernah tinggal di kawasan ini.
Pelawat juga boleh mengayuh paddle boat di Allan’s Water dengan sewaan RM6 untuk 15 minit.
Susur tanam yang comel dengan laluan pejalan kaki yang dihiasi bunga berwarna warni yang menarik.
Peminat bunga pasti teruja melihat warna warni yang subur.
Strawberry, beetroot dan kubis hasil dari Taman Flora Bukit Fraser.
Bukit Fraser bukan saja menarik minat aktiviti merentas hutan,
tetapi ianya lokasi bagi pencinta burung untuk mengintai kehadiran dan
menikmati kicauan unggas di sebalik rimbunan kehijauan. Dengan keluasan
2804 hektar merentas Banjaran Titiwangsa, Bukit Fraser merekodkan
lebih daripada 270 spesies burung tanah tinggi dengan 64 daripadanya
spesies imigran yang datang dari Eropah, Siberia, Cina, India juga
Finland pada setiap September hingga Mac.
Untuk mengalas perut, Medan Selera Bukit Fraser adalah lokasi
menjamu selera yang dibuka di sini. Masjid, tandas awam, taman
permainan kanak-kanak juga disediakan untuk kemudahan pengunjung.
Untuk percutian yang menjimatkan, Bukit Fraser memenuhi aktiviti harian anda dengan harga yang paling minimum, contohnya
- Jungle Trekking – percuma
- Memanah – RM 8 untuk 10 anak panah
- Menunggang kuda – RM 5
- Bersampan di Allan’s Water – RM 6
Bagi peminat fotografi, Bukit Fraser juga memberi anda pelbagai sudut menarik untuk diabadikan.