Suamiku
kini telah tiada tetapi penyesalanku akan terus mengharu jiwaku, Ini
adalah kisah benar di dalam hidupku. Seorang suami yang kucintai, kini
telah tiada. Begitu besar pengorbanan suamiku pada keluargaku. Begitu
tulus kasih sayangnya untukku dan anak-anakku. Suamiku adalah seorang
yang bekerja keras. Dia
bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang sebaiknya untuk kami
sekeluarga. Kehidupan yang kami tempuh akhirnya adalah suatu yang lebih
baik dari kebanyakan orang lain. Ianya adalah suatu yang kami rasa sudah
lebih dari cukup.
Hari ini,
setelah suamiku tiada, aku kembali mengingatinya. Aku malah tidak dapat
melupakannya. Aku merasa sangat berdosa ketika teringatkan bagaimana
satu hari, suamiku pulang dari tempat kerjanya dan aku menyambutnya
dengan keadaan yang amat marah. Ianya suatu yang tidak sepatutnya.
Mengenangkannya aku jadi malu sendiri. Aku tidak dapat maafkan diriku
yang berkelakuan begitu terhadap seorang suami yang sangat baik. Bukan
sekali dua sebaliknya itulah watakku terhadap suamiku. Panas baran,
mengherdik, meleter dan memarahi suami adalah kebiasaaanku.
Aku
masih ingat betapa aku memarahi suami malah menengkingnya hanya kerana
dia lambat pulang untuk membawaku ke rumah ibuku yang mahu berangkat ke
tanah suci. Aku sedar, suamiku pada hari itu - seperti kebiasaaannya
lambat pulang kerana urusan kerja. Dan aku pun tidak perlu tergesa-gesa
sebab ibuku hanya akan ke tanah suci 5 hari lagi.
Tetapi
itulah watak diriku. Aku selalu menempelak suamiku bahawa dia lebih
mementingkan kerjanya berbanding diriku sedangkan aku sangat yakin
suamiku tidak melakukan apa pun melainkn demi untuk membahagiakan kami
sekeluarga.Sepatutnya aku boleh bertolak ansur walaupun aku sudah
berjanji dengan ibuku. Inikan suami ku. Dia lebih patut dan wajib aku
utamakan dari ibuku!!
Apapun
aku sebenarnya dilanda cemburu. Aku bimbang suamiku dipikat oleh wanita
lain di tempat kerjanya atau oleh kenalannya atau oleh siapa saja.
Ianya berasas kerana suamiku kacak dan menarik sedangkan aku sendiri
terasa sudah mula berusia dan semakin tidak menarik. Wajahku pun
bukanlah cantik.
Hakikatnya
aku tidak rela dimadukan. Aku tidak sanggup berdepan dengan situasi
suamiku berkahwin lain. Aku lebih rela diceraikan daripada berkongsi
suami dengan orang lain. Itulah akibatnya bila aku didorong nafsu untuk
bertindak sebegitu terhadap suamiku.
Tapi
kini aku tahu. Semua ucapan dan tindakanku selama ini salah dan hanya
menjadi penyesalanku karena suamiku telah tiada. Setelah 2 hari
kematiannya, seorang rakan kerjanya mengatakan padaku bahawa rupanya
suamiku selalu membanggakan aku - isterinya dan anak-anaknya di depan
rakan-rakan sekerjanya. Tidak ada yang negatif tentang diriku dan
anak-anak melainkan semuanya hal-hal yang baik dan yang sangat
dihargainya terhadap keluarganya.
En Ramli, rakan sekerja suamiku itu berkata, “Abang Halim sangat positif
orangnya. Beliau selalu menyebut bahawa keluarganya adalah suatu yang
amat bermakna di dalam hidupnya. Sebab itu kami tengok dia sanggup bersusah payah demi kebahagiaan keluarganya".
Aku
sedar, itulah diri suamiku. Aku memang mengenalinya begitu tetapi aku
tidak mampu bermujahadah melawan nafsu. Akibatnya aku selalu menyakitkan
hatinya. Ada saja yang aku bebelkan di depannya. Kadang-kadang ketika
bersama jiran atau di depan keluarga pun, aku masih sanggup mengeluarkan
kata-kata yang mengguris hatinya. Teruknya aku!!
Kata
En Ramli lagi' "Abang Halim bukan jenis orang biasa. Jiwanya sangat
kuat dengan Tuhan. Ibadahnya sangat dijaga. Dia merupakan seorang
pemimpin di tempat kerja yang berwibawa. Kata-katanya dituruti,
pandangannya dan buah fikirannya selalunya tepat dan dapat memberi
penyelesaian atas apa saja masalah syarikat. Begitu juga, kami selalu
mendapatkan nasihatnya kalau kami menghadapi masalah peribadi atau
keluarga".
Aku
pun tertegun, memang aku sepatutnya menghargai suamiku sepenuh hati
melebihi orang lain. Tetapi apakan daya. Nasi sudah menjadi bubur. Dia
sudah pergi buat selama-lamanya. Aku menahan air mataku karena aku tidak
ingin menangis di hadapan En Ramli. Aku sedih kerana penyesalanku sudah
tidak bermakna.
Jenis isteri apakah aku ini sebenarnya?
Aku
sesungguhnya hairan dengan sikap penyabar suamiku. Sabarnya luar biasa.
Apa yang aku pasti, suamiku banyak menghabiskan malamnya dengan solat
dan menangis. Cuma hatiku yang masih keras. Aku tidak berubah dari terus
membentak dan memarahinya. Mungkin jiwaku yang sangat sensitif
menjadikan aku tidak berupaya menahan rasa marah kalau hajatku tidak
dilayan oleh suami. Pernah dengan kasar aku menyuruh suamiku membancuh
air minumnya sendiri. Aku malas, itulah alasanku.
Sekarang,
aku teringat betapa hancurnya perasaan suamiku ketika itu. Tapi dia
memang manusia luar biasa. Dia hanya diam saja. Malah sambil tersenyum
dia pergi ke dapur membuat teh atau kopi yang dihajatkannya sendiri.
Sedangkan aku sendiri sedar, sebagai ketua keluarga, aku tidak
sepatutnya melayan suamiku sedemikian.
Aku
teringat kerapnya aku memarahi suamiku, dengan hamburan kata-kata
bahawa dia selalu menyibukkan diri dengan pekerjaannya - sehingga tidak
peduli dengan anak-anak. Namun itu semua salah. Ianya hanya sangkaan
jahat dari seorang isteri yang jahat sepertiku. Mengejutkan bila En
Ramli meninggalkanku dengan beberapa dokumen peribadi suamiku yang ada di dalam laci meja kerjanya. Ketika membacanya, aku tidak dapat menahan tangis.
"Ke hadapan isteriku yang tersayang!
abang telah disahkan mengidap sakit darah tinggi.
Itulah penyebab abang selalu pening dan rasa hendak pitam.
Abang bimbang dengan keadaan abang sebegini.....
apapun kepada Tuhan abang berserah..
Abang akan berusaha menjaga kesihatan.
Apa yang abang ingin sampaikan di dalam catatan ini ialah
abang sangat mencintai sayang. Abang doakan sayang berubah
menjadi isteri yang lebih baik dan solehah.
Perjalanan kita masih panjang dalam mendapatkan kasih sayang Tuhan.
Kita begitu memerlukan Tuhan. Keluh kesah, merungut dan mengeluh
adalah tanda hati kita masih jauh dengan Tuhan.
Sepatutnya sebagai hamba Allah, kita sangat merendah diri
dan tahu untuk bersyukur atas segala nikmat Tuhan kepada kita.
Bersikap redhalah dengan apa jua ketentuanNya.
Kita begitu memerlukan Tuhan. Keluh kesah, merungut dan mengeluh
adalah tanda hati kita masih jauh dengan Tuhan.
Sepatutnya sebagai hamba Allah, kita sangat merendah diri
dan tahu untuk bersyukur atas segala nikmat Tuhan kepada kita.
Bersikap redhalah dengan apa jua ketentuanNya.
Itulah kebahagiaan kita yang hakiki.
Sukalah abang nyatakan di sini:
Sukalah abang nyatakan di sini:
Apapun yang sayang lakukan terhadap abang,
abang telah maafkan. Kalaupun abang tidak dapat berikan semua hajat
dan hasrat yang diminta oleh sayang selama ini, tetapi abang hadiahkan
keampunan dan keredaan dunia akhirat dari abang terhadap sayang.
Jika abang pergi terlebih dahulu, sayang pasti tahu, tidak mudah bertemu
dengan orang seperti abang di dunia ini!
Mohon ampunkan abang dan redhalah dengan apa jua
kelemahan serta kekurangan abang!! - suamimu Abdul Halim Bin Haji Abdul Rahim.
Sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!! Aku hanya mampu
membiarkan air mataku mengalir semahu-mahunya. Aku menyesal tapi apakah
lagi yang mampu aku berbuat melainkan sebanyak-banyaknya meminta ampun
dengan Allah swt. Tidak ada lagi kebahagiaan atau keceriaan di dalam
hidupku kini dan selamanya. Moga Tuhan ampunkan aku dan moga
benar-benarlah aku berpeluang mendapat redha suamiku.
Akhirnya aku berpesan kepada anda semua para isteri dan para suami;
Untuk para suami, Jadilah
seperti suamiku! Teruslah bersabar dengan karenah isteri. Kami memang
dilahirkan tidak sempurna. Watak kami lemah dan mudah tunduk dengan
godaan nafsu dan syaitan. Jiwa kami mudah mengalah dengan kesempitan dan
kesulitan walaupun ramai wanita pilihan yang berjaya menjadi wanita
solehah atau wanita contoh. Kami hanya orang biasa. Sukarnya kami untuk
merendah diri. Ampunkanlah kami dan teruslah pimpin kami. Didiklah kami
dengan iman dan Islam. Bantulah kami untuk merasai kebesaran Allah swt.
Kami perlukan suami yang tidak mudah putus asa dalam mendidik kami. Kami
akan sanggup bersusah payah untuk membahagiakan suami jika nafsu kami
berjaya dijinakkan oleh suami. Jadilah model seperti suamiku di dalam
rumah tangga kami (walaupun aku sendiri tidak menghargainya sepanjang
hidupnya) dan..... memang benar kata-kata suamiku, aku memang sukar
mencari seorang lelaki sehebatnya di dunia ini!!
Untuk para isteri, berubahlah
apabila anda membaca kisah sedih aku ini. Kita para isteri yang kurang
ajar dan menderhakai suami kita memang patut menerima keperitan dan
kesakitan. Tuhan pasti akan menghukum kita dengan berbagai cara. Yang
pastinya ianya perit untuk kita tanggung jika kita belum mampu mendidik
nafsu kita. Bayangkan hukuman Tuhan di dalam kubur dan di akhirat!!
Bagi yang masih ada suami, jadikanlah suami anda benar-benar sebagai
pemimpin anda. Jadikan beliau tempat anda merujuk dan bertanyakan
panduan serta meminta pimpinan. Buanglah ego sejauh-jauhnya untuk tunduk
berkhidmat setulus hati terhadap suami anda. Banggalah dengan suami
anda kerana itulah jodoh yang telah disusun Tuhan untuk anda. Terimalah
suami seadanya. Mungkin dia ada kelemahan tetapi kelemahan kita sebagai
isteri berganda-ganda lagi banyaknya. Jadikanlah suami sebagai jambatan
mendapatkan Tuhan menuju keselamatan dunia dan akhirat
Aku
sebenarnya malu menyampaikan nasihat ini tetapi aku rasa
didorong-dorong untuk menuliskan sebagai tatapan orang lain. Semoga
penyesalanku menjadi iktibar untuk orang lain. Tuhan ampunkanlah aku!!!!
- Isteri yang berdosa.
Tag :
Perhubungan,
Sharing is Caring