BAHAGIA. Gambar terkini Sham sempena Aidiladha baru-baru ini bersama isterinya, Nurul Halimin dan anak tirinya, tersebar di internet.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, isu rumah tangga gitaris Kamikaze yang kini selesa membawa diri sebagai pendakwah bebas, Sham atau nama sebenarnya, Shamril Mohd. Salleh merupakan antara isu paling hangat pada tahun lalu.
Ini kerana, pada waktu itu, Sham, 37, didakwa berkahwin dua dengan Nurul Halimin Md. Salleh dan perkahwinan tersebut berjalan tanpa keizinan isteri pertamanya, Farazilah Abdul Jabar.
Ia menjadi hangat apabila kononnya keluarga Nurul dikatakan kecewa dengan tindakan Sham yang menyembunyikan perkahwinan mereka yang berlangsung pada Januari 2013.
Isteri pertama Sham, Farazilah kemudian meminta cerai pada Ogos 2012. Padahal, pasangan tersebut memang telah bercerai sejak 1 September 2011 dan tidak merujuk penceraian mereka kepada pihak Mahkamah Syariah.
Sementelah, Sham sendiri menafikan dia telah berkahwin dua, namun enggan memberi sebarang penjelasan kepada umum.
Kini, selepas setahun, Sham yang ditemui Kosmo! sewaktu majlis Program Jom Jadi Sahabat Zakat yang dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Danau Kota, Kuala Lumpur, bercakap tentang tuduhan yang disifatkannya sebagai sama sekali tidak benar itu.
Apakah perkembangan terkini Sham?
Tiada apa yang baru mengenai diri saya selain menerima jemputan menghadiri majlis dakwah. Jika ada mana-mana pihak yang menjemput dan kena pada masanya, saya akan hadir untuk berkongsi menyampaikan dakwah. Malah, yang terbaharu saya ada muncul di RTM 2 untuk Konsert AidilAdha. Selain itu, saya ada menulis lagu baharu buat artis-artis dakwah dan nasyid.
Jika tak silap saya, sebelum ini anda ada menyatakan bahawa mahu berhenti daripada dunia seni, tetapi mengapa kini anda dilihat kembali aktif?
Ya, memang benar saya telah berhenti, tetapi atas pelawaan sesetengah pihak yang menyuruh saya menulis lagu, jadi saya kembali secara perlahan-lahan di belakang tabir. Kini, saya mahu aktif menulis lagu yang berunsurkan dakwah atau ketuhanan buat penyanyi yang memerlukan lagu-lagu berunsur sedemikian.
Kita berganjak kepada soalan peribadi. Boleh anda jelaskan kembali tentang isu rumah tangga anda yang sebelum ini digembar-gemburkan?
Saya ada sebab tertentu yang menyebabkan saya merahsiakan hal itu dan apa yang penting Tuhan dan keluarga saya tahu mengenai hal ini sudah cukup. Malah, sebenarnya dari dulu saya tidak pernah berkongsi mengenai kisah kehidupan saya. Saya tidak mengikut konsep jika seseorang itu adalah public figure dia harus berkongsi mengenai kisah hidupnya, tetapi secara peribadi saya mempunyai sebab dan hak juga untuk tidak mahu berkongsi tentang peribadi saya bersama khalayak.
SHAM menegaskan dia tidak pernah berkahwin dua, sebaliknya berkahwin kali kedua dengan Nurul Halimin selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Farazilah.
Jadi adakah benar dakwaan anda telah berkahwin dua?
Itu tidak tepat sama sekali. Sebenarnya ini merupakan cerita lama dan saya telah memberitahu bahawa saya tidak berkahwin dua. Saya tidak mahu bercakap mengenai soal ini dan saya percaya anda juga tahu mengapa.
Jadi bagaimana anda boleh jelaskan situasi ini sebenarnya kerana anda memang mempunyai dua orang isteri sebelum ini? Atau adakah anda sebenarnya telah berkahwin kali kedua setelah bercerai dengan isteri yang pertama?
Ya, sebenarnya saya memang tidak berkahwin dua, sebaliknya saya telah berkahwin kali kedua setelah penceraian yang pertama, tetapi saya tidak akan memberitahu bila kerana saya ada sebab yang tertentu.
Jika benar mengapa anda tidak memberitahu kepada umum?
Andai kata saya melakukan kenyataan media untuk memberitahu mengenai perkahwinan saya, akan ada pihak yang akan membuat spekulasi lain mengenai diri saya dan saya mempunyai sebab-sebab yang tertentu juga untuk terus merahsiakannya.
Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan keluarga isteri kedua anda kesal kerana anda masih enggan mengakui sudah berkahwin dan bagaimanakah perhubungan anda dan keluarga mentua sekarang?
Saya tiada sebarang masalah dengan keluarga mentua saya. Malah, dakwaan cerita yang tersebar itu sama sekali tidak benar.
Boleh kongsikan sedikit tentang kehidupan anda kerana terdapat sekeping gambar anda bersama isteri dilihat sedang sarat hamil?
Ya, isteri saya sedang hamil anak sulung kami yang dijangka dilahirkan pada tahun hadapan.
0 Komentar untuk "Sham nikah Nurul selepas cerai Farazilah"