Saya sempat mengambil gambar masakan dan makanan kegemaran saya di kampung semasa kecil sehingga kini. Makanan ini akan saya cuba dapatkan setiap kali balik kampung. Tapi kerana makanan kegemaran terlalu banyak, jadi kalau sekadar balik bercuti beberapa hari, memang tak sempat untuk menikmati kesemuanya.
Gambar di atas adalah pulut dimakan dengan kelapa yang diletak sedikit garam dan ikan rebus goreng. Saya memang gemar sangat pulut yang dimakan dengan ikan rebus goreng ini apalagi kalau ikan selar kuning yang digoreng rangup. Ini adalah sarapan pagi yang disediakan di rumah kakak saya untuk jiran jiran yang datang tolong menyiapkan bahan bahan untuk masakan kenduri.
Yang ini pulak nasi dagang yang rasanya semua orang dah tahu lah ya. Nasi dagang ini sangat terkenal di Kelantan dan Terengganu. Ia dimakan sebagai sarapan pagi atau dihidangkan pada hari hari perayaan. Selain gulai ikan tongkol, ianya juga dimakan bersama gulai ayam atau gulai itik serati. Nasi dagang di atas dibeli di kampung berhampiran dengan kampung saya. Sangat sedap, buka sahaja kertas pengbungkus, dah tercium baunya yang sangat enak.
Sira labu adalah salah satu lauk pauk yang disediakan semasa kenduri kawin. Walaupun kini saya mengerti yang ianya dalam kategori pemanis mulut tetapi di Kelantan, saya memakannya sebagai lauk yang dimakan bersama nasi dan lauk pauk lain. Bukan dimakan selepas memakan nasi sebagai pencuci mulut. Jika kita menggunakan labu madu, rasanya lagi sedap. Semasa saya kecil, labu yang digunakan adalah besar besar bersaiz periuk yang sederhana besar. Namun kini, buah labu bersaiz lebih kecil.
Ini lagi gambar sira labu yang diambil dari jarak dekat untuk santapan mata kita semua ya.
Haaa ini lah gulai kawah, masakan utama yang mesti adalah pada setiap majlis perkahwinan di Kelantan. Yang pasti ditempat saya la, tak tahu pulak kalau di tempat lain tak ada. Sangat enak terutama jika dimasukkan sekali mumban nyior yang diambil dari buah kelapa muda.
Ini pula acar rampai. Rasanya sama sahaja dengan acar yang terdapat di KL. Acar ini juga disediakan untuk dijadikan lauk pauk semasa kenduri.
Ini pulak adalah Teresek yang menjadi kegemaran saya. Setiap kali kenduri, saya pasti mencadangkan lauk ini dimasak sebagai lauk untuk hidangan. Namun sekarang, ramai yang tidak lagi menyediakan lauk teresek kerana kekurangan orang yang boleh memasaknya. Maklumlah hanya golongan tua di kampung sahaja yang datang untuk menolong kerja kerja memasak semasa kenduri. Teresek biasanya dimasukkan hati, mempedal, kaki ayam, tengkuk dsb yang dimasak bersama sama dengan kacang panjang dan lada hijau. Sedapnya. Sungguh payah untuk mencari teresek yang betul betul mempunyai rasa seperti teresek Kelantan di KL ni walaupun dijual di restoran restoran Kelantan.
Biasanya lauk ayam akan juga disediakan di majlis kenduri kawin di Kelantan. Kalau semasa saya kecil, lauk ayam biasanya di masak percik tapi kini amat sukar untuk mencari majlis kawin yang menyediakan percik. Ini adalah kerana lauk ini pasti menjadi rebutan dan sukar disediakan dalam jumlah yang banyak. Selain percik, ayam juga dimasak sambal pedas. Kalau sambal pedas, sambutan agak berkurangan. Tapi kini, lauk ayam lagi dipermudahkan dengan hanya menggoreng berempah sahaja seperti gambar di atas.
Ini pulak makanan hidangan petang iaitu pisang goreng yang dijual di sepanjang jalan di Kelantan. Menggunakan pisang yang agak masak, menjadikan pisang goreng sangat sedap. Tambahan pula, tepung nya yang digoreng rangup
Kalau di KL, dipanggil goreng keledek tapi di Kelantan di panggil kaki ayam iaitu keledek yang dipotong secara memanjang sepanjang jari dan dicelup tepung sebelum digoreng. Sedap sekali. Keledek direndam air kapur atau air garam sahaja jika mahu.
Yang ini pulak, tapai ubi kayu goreng. lagi manis tapai ubi kayu, lagi sedap dimakan kuih ini. Saya pasti membeli beberapa ketul kerana ianya sukar di dapati di sini.
Semasa kecil, saya selalu makan pisang batu rebus sebagai makanan untuk sarapan pagi. Ianya perlu menggunakan pisang yang agak masak, barulah lebih enak.
Ini pulak nasi kerabu. selain nasi berlauk dan nasi dagang, nasi kerabu juga adalah makanan kegemaran saya untuk sarapan pagi. Lauk pauknya samada solok lada, daging bakar, itik atau ayam atau daging kerutuk dan macam macam lagi. Sedap weh, nampak tak ada kuah budu dalam tu..
Yang ini namanya kuih cucur, kalau tak silap saya lah. Saya jarang makan kuih ini kerana banyak lagi kuih kuih yang berada dalam senarai. Setiap kali ke pasar, saya membeli berjenis jenis kuih sampai tak termakan.
Pulut pagi adalah pulut yang dimasak agak manis dan dicicah pulak dengan kelapa muda parut yang diletak sedikit garam. Tapi yang ini diletak juga sedikit kacang merah. Walaupun dah kekenyangan, saya menghabiskan satu kelongsong pulut pagi. Pulut pagi biasanya dibungkus dalam daun pisang seperti kelongsong dan disemat dengan lidi sahaja.
Ini agenda terakhir makan makan saya sebelum berangkat balik ke KL. Haa kelapa muda yang buahnya boleh dipetik dengan tangan sahaja. Masukkan sedikit air gula ke dalam air kelapa. Sudukan isi kelapa muda untuk dimasukkan ke dalam air kelapa. Semasa kecil terutama di bulan puasa, air kelapa adalah minuman istimewa yang dihidangkan semasa berbuka. Pada masa itu, kami meletakkan susu pekat manis ke dalam air kelapa. Dah lama saya tidak mencubanya. Mungkin lain kali saya akan memasukkan susu dan yang pasti rasanya sedap sekali walaupun rasa air kelapa sudah berbeza ...
Inilah tepung boko yang menjadi kegemaran orang Kelantan. Ada boko tepung beras dan ada boko ubi kayu. Boko ni kalau orang sini panggil kuih talam lah. Sedap weh ..
Ini pulak ketupat palas orang Kelantan. Kat sini ada juga ketupat palas tapi penyediaannya sangat berbeza. Di KL, pulut dimasukkan dalam daun palas sahaja.
Ini namanya resit. Kebetulan masa balik baru ni, musim resit naik di pantai pantai di Bachok. Jadi anak saudara telah membeli resit. Saya kurang gemar makan ni sebab nak makan susah, kecik sangat.
Ini lah mee goreng kesukaan saya dari kecil hingga kini. Mak cik yang menjual ni pun dah nampak tua dan uzur. Mee goreng bodoh, yang selalu dipanggil orang lah hanya ada sayur kangkung sahaja. Tak ada rencah lain.
Ini pulak koleh yang juga kegemaran saya terutama kelapa yang ditabur atasnya. Hehehe sedap ni
Ini pulak makanan yang saya tak pernah makan walaupun teringin nak makan kerana teringat amaran masa kecil kecil dulu, kalau makan jering rebus nanti tak boleh buang air kecil. Entah betul entah tidak, saya pun tak pasti. Yang pasti ia kekal menjadikan saya fobia sehingga kini.
0 Komentar untuk "Makanan Kelantan Kegemaran"