This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik

KUALA LUMPUR: Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan tidak akan meragut kedaulatan negara kerana ia tidak mengehadkan kerajaan untuk mengawal selia atau mengambil langkah perlu untuk melindungi hak dan kedaulatan tanah air.

Jaminan itu diberi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad yang menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang peruntukan dalam TPPA, khususnya berhubung penyelesaian pertikaian antara pelabur-kerajaan (ISDS), yang boleh mengancam kedaulatan tanah air.

"Tidak ada bab peraturan dalam TPPA yang boleh menghalang kerajaan daripada mengguna, mengekal atau menguatkuasakan langkah dasar domestik untuk melindungi kepentingan negara."

"Malaysia sebelum ini sudah menandatangani 74 perjanjian perlindungan pelaburan termasuk dengan Amerika Syarikat bermula sejak 1959 lagi yang mengandungi peruntukan sama dengan ISDS yang telah berjaya menarik masuk ramai pelaburan asing," katanya.

Beliau menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Klang) dan beberapa pertanyaan anggota Parlimen lain dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Charles meminta penjelasan mengenai status terkini perbincangan FTA antara Malaysia dengan negara-negara TPPA dan sama ada kerajaan boleh menjamin kedaulatan negara tidak akan terkorban jika Malaysia menandatangani perjanjian itu.

Menjawab kerisauan berhubung ISDS yang dikatakan memberi peluang kepada firma multinasional (MNC) untuk membawa sesebuah kerajaan ke tribunal timbang tara antarabangsa, Mustapa berkata ia bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat asing tetapi juga syarikat-syarikat Malaysia yang memerlukan perlindungan apabila melabur di negara luar.

Berhubung impak perjanjian TPPA kepada industri kecil dan sederhana (IKS) dan syarikat-syarikat bumiputera, Mustapa berkata rundingan turut mengambil kira aspek terbabit.

Ini, menurutnya, menjadikan TPPA perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama di dunia yang memberi perhatian kepada IKS dengan menyediakan bab khusus mengenainya bagi memastikan IKS tidak diabaikan.

Dalam pada itu, Mustapa menafikan dakwaan bahawa tiada sebarang konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum memutuskan untuk terlibat dalam rundingan TPPA.

"Konsultasi sewajarnya telah dibuat sebelum Malaysia terlibat dalam proses rundingan ini dan kerajaan juga telah berunding mengenai isu-isu berbangkit dengan pelbagai pihak," kata Mustapa.

Ini termasuk dewan-dewan perdagangan, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Majlis Aids Malaysia, Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia, parti-parti politik, Suhakam dan sebagainya.

"Kita juga sudah mendedahkan keperluan yang semakin meningkat untuk syarikat Malaysia dan langkah fasilitasi yang boleh memudahkan penerangan mengenai pelaburan kepada syarikat Malaysia yang terlibat dalam pasaran global," katanya.

Kepada pertanyaan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) sama ada kerajaan akan menimbang untuk menarik diri daripada rundingan itu sekiranya ketegasan Malaysia tidak diterima anggota rundingan lain, Mustapa berkata Malaysia berhak tidak menandatangani sebarang perjanjian sekiranya mendapati kedaulatan negara terpaksa dikompromi.

"Kita (Malaysia) masuk dalam rundingan tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak, jadi kalau tak setuju negara boleh memilih untuk tidak menandatangani (perjanjian). Yang penting untuk pastikan kedaulatan negara terpelihara," katanya.

Menurut Mustapa, rundingan TPPA kini telah melalui 17 pusingan bermula Mac 2010 dan dijangka tamat akhir tahun ini, bergantung kepada fleksibiliti yang ditunjukkan anggota TPPA yang lain. - BERNAMA

Legasi Rafidah Aziz, Menteri UMNO di MITI: Hampir separuh pengurusan tertinggi MITI bukan Islam/Melayu bagi 'menjayakan' DEB

Itulah jaminan yang diberikan oleh Menteri MITI, Tok Pa kita. Namun, sejauh mana jaminan yang beliau berikan ini benar-benar boleh dipakai? Kita kena ingat, penjajahan US dan Barat bukan hanya datang dalam bentuk kapal perang dan senjata api

Kalau ada yang masih ingat, US sebenarnya sudah berkali-kali mencuba untuk menguasai Selat Melaka. Sebabnya, itulah satu-satunya jalan perdagangan laut yang paling dekat untuk ke Timur Jauh. Semua kuasa besar mengiktiraf hakikat bahawa, sesiapa yang menguasai Selat ini, maka dia akan menguasai ekonomi dunia. EYE IN THE SKY adalah antara alasan awal yang digunakan US bagi menguasai Selat Melaka kerana kononnya mahu memastikan keselamatan kapal-kapal dagang daripada serangan lanun. Terbukti kini, masalah lanun di Somalia yang lebih serius.

Inilah kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT kepada bumi bertuah Malaysia. Dan ia bukanlah sesuatu perkara yang baru. Negara kita pernah digelar sebagai Suvarnabhum atau Golden Chersonese yang membawa maksud sebagai Semenanjung Emas. Memang satu ketika dahulu negara kita kaya dengan emas. Sebab itulah, hampir seribu tahun bangsa kita berperang dengan kuasa-kuasa besar dunia untuk mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta ini. Walaupun, beberapa ratus tahun dijajah dan merosot wilayah kuasa, namun Allah SWT masih lagi sayangkan bangsa Melayu dan mengembalikan amanah turun temurun nenek moyang kita seperti yang ada hari ini.

Sebab itulah penting untuk menjaga dengan sepenuh jiwa raga kita amanah turun-temurun ini. Kita cukup marah dengan apa yang berlaku di Mesir, sehinggakan ada di antara kita menempelak Kerajaan sendiri kerana hanya menyimpan aset ketenteraan negara ketika rakyat Mesir dibunuh. Persoalan untuk mulut yang lancang berkata-kata sedemikian: Apakah kita mahu berperang dengan Mesir yang jauhnya beribu-ribu batu itu? Dan tidakkah anda semua terfikir apakah impaknya kepada rakyat Malaysia yang sedang belajar dan bekerja di sana jika Kerajaan Mesir sudah merasakan Malaysia memusuhi mereka? Sedangkan rakyat sendiri boleh dibunuh begitu sahaja, apakan pula rakyat asing?

Jadi, bila bercakap biarlah menggunakan akal fikiran yang waras. Kalau sudah mendidih sangat darah hendak mati lawan tentera Mesir, beli sahaja tiket penerbangan ke sana dan terus sahajalah berjuang. Tiada siapa yang tahan. Ada berani? Cakap memang mudah.

Berbalik kembali kepada tajuk dan tujuan artikel ini, sedang para 'syuhada' Malaysia sibuk dan berkira-kira hendak SYAHID di Mesir, mereka tidak sedar dan mungkin tidak ambil peduli pun yang ada si KITOL sedang menjual negara kepada kuasa asing atau lebih tepatnya US melalui TPPA ini. Dan yang lebih manis, si KITOL ini bukan sahaja dinaikkan pangkat ke JAWATAN UTAMA SEKTOR AWAM a.k.a. JUSA kerana usaha ini, bahkan beliau mungkin juga akan mendapat sesuatu ganjaran balas daripada US sendiri atas kelicikan rancangan jahat beliau ini, GREEN CARD mungkin?

Inilah masalahnya dalam Kerajaan ketika ini. Terlalu banyak penasihat yang berkepentingan dan sistem REWARD yang lintang pukang. Sesiapa yang kuat membodek bos, selalu datang mengampu ke bilik bos, ajak bos makan, lapor perkembangan atau adu domba, maka orang itulah yang akan diberikan ganjaran. Biarlah tiada idea bernas atau pencapaian yang dicatatkan, yang penting bos lebih ingatkan dirinya berbanding orang lain. Sebab itulah juga, ada sesetengah agensi Kerajaan ini, jika ada misi, kumpulan itu sahajalah yang akan pergi. Seolah-olahnya agensi itu hanya ada tiga ke empat orang pegawai sahaja.

Kepimpinan negara terutamanya pihak Menteri juga sepatutnya memainkan peranan untuk mengkaji sendiri setiap kertas cadangan yang disuakan kepada mereka. Siapa yang berani mempermainkan Tun M dahulu? Semua keputusan yang dibuat oleh beliau diteliti setiap perincian dan ditentukan timbangan baik buruknya. Jangan hanya mengharapkan nasihat daripada kelompok kecil penasihat dan bos-bos besar kementerian sahaja. Berkemungkinan mereka juga berkepentingan dan sedang menunggu laba.

Apabila Tok Pa memberikan jaminan sedemikian, adakah beliau tahu yang si KITOL tersebut yang beria-ia terbang ke PERU untuk melobi Malaysia dimasukkan ke TPPA, dan bukannya atas jemputan US? Adakah TOK Pa selaku Menteri yang agak senior ingat bahawa TPPA ini sama sahaja seperti EAEC yang pernah dicadangkan oleh TUN M satu ketika dahulu, tetapi berlainan objektif? Objektif besar TPPA kini adalah bagi mewujudkan blok ekonomi Asia Timur yang berkiblatkan US bagi mengekang kuasa ekonomi China.

Adakah Tok Pa juga sedar bahawa TPPA ini akan membunuh semua IKS di negara ini kerana tidak dapat bersaing dengan standard yang ditetapkan oleh TPPA sendiri? Tok Pa tidak sedarkah IKS inilah yang banyak menyumbang kepada penjanaan ekonomi dalam negara di saat suasana ekonomi dunia dan US yang merudum. TPPA ini bakal menjadikan semua rakyat Malaysia sebagai konsumer produk mereka kerana tiada siapa lagi yang mampu untuk membangunkan perniagaan sendiri untuk bersaing dengan mereka.

Adakah Tok Pa juga sedar yang kementerian beliau dikuasai oleh keturunan si KITOL yang memang bencikan DEB? TPPA ini adalah serampang dua mata untuk menghapuskan DEB apabila peluang perniagaan diliberalisasikan. Adakah sebuah syarikat yang modalnya RM 2 juta mampu bersaing dengan syarikat yang bermodalkan RM 200 juta? Itupun jika mereka masih lagi menggunakan perantaraan ringgit lagi selepas itu. Apa akan jadi jika DEB tiada Tok PA? Sedangkan ketika DEB wujud selama hampir 50 tahun pun Melayu masih tidak dapat menguasai 50% kek ekonomi, boleh bayangkan keadaan jika DEB tiada langsung?

Itu kalau kita cerita tentang soal ekonomi. PR melaungkan slogan UBAH. Kenapa slogan mereka tidak berjaya pada PRU-13 lalu? Kerana rakyat masih senang hidup dan mencari rezeki. Namun apa akan jadi jika para peniaga hilang mata pencarian dan rakyat Malaysia benar-benar bergantung kepada ihsan ekonomi US? Maka jika US mahu rakyat kita lapar, maka laparlah mereka. Dan jika mereka sering lapar, slogan UBAH itulah akan menjadi matlamat hidup mereka!

Jika dahulu Kerajaan Melayu Melaka tumbang kerana si KITOL membuka pintu kota Melaka kepada Portugis, maka sejarah kini berulang. Kalau Tok PA tak percaya, carilah si KITOL yang bernama J yang baru sahaja naik pangkat ke JUSA A kerana berjaya memasukkan Malaysia ke TPPA.

Sayangnya Tok Pa, seorang pemimpin yang berhati murni, namun mudah diperkotak-katikkan oleh musuh dalam selimut. Sepatutnya Tok Pa merungkaikan anasir liberal dalam MITI yang telah ditanamkan bertahun-tahun oleh Rafidah Aziz!

0 Komentar untuk "Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik"
Back To Top