Hari Raya bakal menjelang beberapa hari saja lagi.Pastinya sudah
ramai yang sudah bersiap-sedia menyiapkan beberapa menu wajib seperti
lemang , ketupat dan dodol.Untuk pengetahuan blogger semua , lemang
merupakan menu wajib bagi kami sekeluarga pabila tibanya Hari Raya.Ini
bermakna , kami adik beradik akan bergotong-royong menyiapkan menu
istimewa ini.Untuk mencari buluh tidak susah kerana abah kami sudah
menanam pokok buluh dibelakang rumah kami di kampung.
Hari ini , saya akan berkongsi dengan anda semua cara-cara membuat
lemang.Manalah tahu , tahun depan anda semua boleh mencubanya.Membuat
lemang tidak susah mana pun.Sambil buat lemang pun boleh bertwitter
ataupun ber’facebook.
Di kampung, buluh lemang boleh dicari di hutan belukar,ladang getah
atau di tepi sungai.Bukan semua buluh boleh dijadikan buluh lemang.
Hanya buluh yang tidak terlalu tebal ataupun nipis dengan saiz diameter
yang sederhana sahaja. Buluh yang nipis akan pecah apabila dihentak
(sewaktu proses membakar) dan yang terlalu tebal akan menyebabkan lemang
lambat masak.Jadi,buluh yg terbaik untuk membuat lemang adalah buluh yg
tidak terlampau tua.
Buluh lemang yang terpilih akan dibersihkan dari debu miangnya dengan menggunakan sabut kelapa.
Kemudian , daun pisang muda digunakan untuk mengalas buluh lemang.Ia bertujuan untuk menaikkan aroma beras pulut yang dugunakan.
Gulung daun pisang mengikut saiz buluh yang telah potong mengikut
ruasnya. Kemudian masukkan daun tersebut menggunakan batang pelepah
pisang yang telah dibelah dua (buatkan seperti penyepit). Sepit daun
pisang yang sudah digulung dan masukkan ke dalam buluh. Sebelum masukkan
daun yang bergulung itu, sumbat dahulu pangkal buluh tersebut (pada
bahagian ruasnya) dengan daun pisang yang dikeronyok. Tujuannya supaya
lemang di bahagian hujung tidak kotor terkena buluh. Oleh itu, semua
bahagian boleh dimakan kelak.
Beras pulut dan santan yang sudah direndam (dan digaram) bolehlah
dimasukkan ke dalam batang buluh. Beras pulutnya dimasukkan sekitar 3/4
daripada buluh. Kemudian, masukkan baki santan sehingga ke paras yang
sama. Sambil masukkan beras pulutnya, hentak sedikit-sedikit
(perlahan-lahan) supaya ruang kosong di dalam buluh dalam diisi dengan
baik. Usah hentak terlalu kuat bimbang nanti pulut tiada ruang untuk
mengembang sewaktu proses membakar.
Sementara beras pulut dan santan diisi, tempat membakar lemang perlu
disiapkan terlebih dahulu.Dua pancang besi ditegakkan di kiri dan kanan
(bergantung kepada berapa banyak lemang yang akan dibakar). Pastikan ada
satu besi yang melintang di bahagian tengah sebagai tempat lemang
bersandar.
Apabila tempat membakar lemang telah siap, hidupkan api dan lemang
sedia untuk dibakar.Apa yang penting semasa proses membakar lemang
adalah proses mengawal api suapaya supaya lemang tidak hangus. Jika mahu
cepat masak, api boleh besar tetapi harus rajin pusing-pusingkan lemang
supaya masaknya rata.Anda harus pandai bagaimana hendak mengawal api
tersebut.
Setelah lemang mendidih dan berbuih-buih ( santan menggelegak), boleh
dihentakkan lemang supaya menjadi padat. Lemang yang tidak padat tidak
akan nampak menyelerakan.
Apabila buluh lemang mula layu dan setelah dibakar sekian lama (lama
proses pembakaran bergantung kepada besar/kecil ataupun jauh/dekat api),
lemang pun masak.
Sesudah itu, bolehlah lemang dibelah dan dinikmati bersama-sama rendang.Lemang telah sedia untuk dihidang di pagi Aidilfitri.