This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Perkahwinan adalah satu ibadah

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama. Oleh itu ulamak telah menulis dan menjelaskan dengan panjang lebar dalam hal ini dalam kaya-karya mereka yang terdapat dalam pasaran.

Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.


Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang."

Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.

Dari sudut syara', hukum berkahwin itu terbagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri. Ia jadi wajib, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin. Ia jadi sunat, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang. Ia menjadi haram, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain. dan ia menjadi mubah, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nasfunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.

Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah. Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.


Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:

"Bahawa dua rekaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rekaat solat orang bujang".

Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.

Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.


Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya."


Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula."

Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat.
Tag : Perhubungan
Back To Top