This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Manipulasi nafsu membeli

MOOD mewah di hotel adakalanya membuatkan kita tidak kisah untuk membayar pada harga yang mahal ketika berbuka. - Gambar hiasan

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, seolah-olahnya menjadi satu gaya hidup baharu masyarakat apabila pusat beli-belah mula mengadakan pelbagai promosi untuk menarik pembeli. Kita akan dapati Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dan pasar raya di seluruh negara dipenuhi dengan lautan manusia.

Hotel-hotel tertentu akan menawarkan pelbagai pakej berbuka puasa dengan tawaran yang menggoda. Setiap orang seolah-olah perlu berbelanja lebih besar ketika bulan Ramadan, sekalipun bagi barangan yang tidak perlu.

Setiap orang bagaikan tertawan dengan promosi harga runtuh yang ditawarkan oleh peniaga, walaupun harga yang diturunkan tersebut adakalanya hanya beberapa ringgit sahaja.

Bulan Ramadan telah menjadi bulan untuk kita berbelanja besar.

Mengapa pembeli sangat teruja untuk melakukan pembelian secara berlebihan setiap kali menjelangnya bulan Ramadan dan tidak pada waktu yang lain?

Dalam psikologi, inilah yang kita namakan sebagai atmospheric atau suasana. Ia merupakan situasi bagaimana persekitaran atau satu-satu suasana telah mengubah tingkah laku manusia.

Keadaan itu biasa kita alami apabila memasuki pusat beli-belah atau makan di restoran tertentu. Ada muzik tertentu dimainkan yang menyebabkan kita terasa untuk membeli barangan tertentu dan seolah-olahnya menjadikan kita ini sebagai manusia yang lain.

Begitu jugalah apabila kita dihadapkan dengan sinar lampu dan penataan cahaya yang ada di hotel menyebabkan mood kita berubah.

Perubahan mood itu bukan sahaja menjadikan kita berasa selesa, tetapi juga menyebabkan tingkah laku kita berubah sama sekali.

Misalnya, apabila kita minum di kafe hotel, kita berasa seperti orang kaya yang tiada masalah. Kita juga mungkin sanggup berbelanja lebih sedikit untuk menikmati secawan kopi kerana suasana tadi telah mengubah mood kita.

Bagaimanapun, kita mungkin akan berfikir panjang sekiranya perlu membayar harga yang sama di kedai kopi biasa.

Semua ini sebenarnya hanyalah perasaan yang dibangkitkan oleh manipulasi persekitaran tadi.

PASTIKAN anda membeli barangan keperluan atau makanan tanpa membazir. - Gambar hiasan

Kejayaan atmospheric itu dikatakan berlaku dalam tiga proses utama, iaitu:

i) Sejauh mana suasana tersebut menarik.

ii) Bagaimana ia mampu membangkitkan rangsangan fisiologi.

iii) Darjah kekuatan rangsangan yang diwujudkan itu.

Fikir rasional

Dikatakan bahawa wangian adalah antara bentuk atmospheric yang sangat berkesan mengubah mood manusia, kerana ia mampu merangsang fungsi otak dan mengubah emosi manusia pada kadar segera.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, kegagalan psikologi manusia untuk bertindak secara normal dengan persekitaran mungkin akan merosakkan diri, khususnya ketika berbelanja.

Kita mungkin berbelanja bagi barangan yang tidak diperlukan, tetapi mengabaikan barangan yang sepatutnya dibeli.

Ini kerana suasana yang wujud tadi menyebabkan manusia menilai sesuatu itu secara positif, walaupun ia mungkin tidak rasional.

Misalnya sesuatu barangan yang dijual itu tetap dilihat sebagai berkualiti dan cantik disebabkan oleh pengaruh manipulasi persekitaran tadi.

Ia biasa terjadi dalam kehidupan kita seharian. Kita berbelanja bukan disebabkan kita ingin membelinya. Sebaliknya, kita berbelanja kerana kita telah menjadi manusia yang lain.

TAWARAN harga runtuh hakikatnya mungkin melibatkan penurunan harga sebanyak beberapa ringgit sahaja tetapi berjaya membuatkan orang ramai memborong sakan. - Gambar hiasan

Sebab itulah, kita dapati mood 'Ramadan' ini telah digunakan oleh banyak pihak untuk memanipulasi nafsu manusia.

Kuatkan psikologi

Kita akan mendapati kewujudan pakej berbuka puasa dengan harga yang tidak masuk akal atau jualan murah yang harga sebenarnya mungkin lebih mahal daripada bulan biasa.

Bagaimanapun, kejayaan peniaga mewujudkan sentimen tertentu menyebabkan manusia tidak mampu berfikir panjang lagi.

Ia seperti temasya yang memerlukan setiap orang berbelanja besar seolah-olah itulah pembelian yang terakhir.

Walaupun kajian mendapati kewujudan atmospheric seperti suasana hiruk-pikuk dan keriuhan manusia boleh menyebabkan pola pembelian terganggu, sebaliknya ia mungkin tidak terjadi kepada semua individu.

Ada sesetengah individu yang merasakan sekiranya mereka tidak membeli barangan, barangan tersebut akan habis dibeli oleh orang lain. Ini menjadikan mereka tidak ada pilihan dan perlu membeli sesuatu barangan walaupun mungkin ia tidak ada dalam senarai keperluan mereka.

Sebab itulah, sebagai pengguna kita wajar berhati-hati agar tidak terperangkap dengan permainan atmospheric ini.

Ia bukanlah kesalahan peniaga kerana mereka perlu mempunyai strategi untuk melariskan barangan. Bagaimanapun, sebagai pengguna, kita juga perlu mempunyai strategi agar bijak berbelanja dan berhemah mengguna wang.

Bulan Ramadan sepatutnya memberi peluang untuk kita lebih rasional dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu. Kita mungkin tidak tergoda untuk makan dan minum pada siang hari.

Bagaimanapun, kita terlupa bahawa kita sedang digoda oleh manipulasi persekitaran yang merangsang nafsu membeli. Kekuatan psikologi boleh menjadi panduan untuk kita semua.

Tag : Pengetahuan
0 Komentar untuk "Manipulasi nafsu membeli"
Back To Top