Kata Hamka dalam pantunnya:
Janganlah masuk ke tengah gelanggangKalau taruhan tidak tertampin
Janganlah ingin jadi pemimpinKalau hanya alang kepalang
Tidaklah semua orang akan senangSelama berjuang di bumi iniAda yang suka ada yang benciSetelah meninggal barulah terang.
Pantun Hamka
di atas menggambarkan beratnya terma atau title pemimpin itu. Saban hari kita
melihat pendapat mahupun pandangan tentang kepimpinan mahupun dalam arena
politik, perniagaan hinggalah ke peringkat persatuan. Pendapat itu pelbagai
pula, ada yang menyokong, tak kurang juga yang
membantah.
Hakikatnya,
menggalas nama pemimpin itu bukan satu tugas yang patut diambil enteng. Pemimpin
hari ini bukan sahaja perlu bijak mengambil hati tetapi juga perlu pandai
mengatur strategi dan rancangan bagi organisasi yang mahu dipimpin biarpun
organisasi tersebut hanyalah melibatkan ahli
keluarganya.
Salah satu
ciri yang saya rasa perlu ada dalam setiap insan yang sudah bergelar mahupun
berimpian untuk digelar sebagai pemimpin adalah keterbukaan. Apakah itu
keterbukaan? Kamus Dewan Edisi ke Empat mendefinisikan perkataan ini sebagai
perihal terbuka (hati), sikap berterus terang,
perihal atau sikap sedia melayani atau menunjukkan minat kpd apa sahaja pengaruh
(unsur, rangsangan,
dll).
Lumrah
manusia ialah untuk berbeda pendapat. Namun bagi seorang pemimpin, perbezaan
pendapat itu adalah sesuatu yang perlu diraikan dan ditangani dengan kepimpinan
berlandaskan ilmu dan rasional bukan dengan menggunakan emosi sahaja.
Keterbukaan dalam konteks kepimpinan yang saya utarakan hari ini, saya
definisikan sebagai keupayaan satu pemimpin itu untuk menerima
pandangan/kritikan/cadangan daripada mereka yang di bawah
kepimpinannya.
Dalam usaha
untuk mendepani cabaran pada masa hadapan, pemimpin hari ini tidak boleh tidak
perlu untuk mengeluarkan diri daripada sangkar konsep 'if you are not with me
then you are against me'. Kemajuan dan kecanggihan teknologi pada hari ini
bukan sahaja memungkinkan komunikasi yang lebih berkesan di kalangan masyarakat
malah telah mewujudkan satu lautan ilmu dan maklumat yang tidak
bertepian.
Eric Schmidt, CEO Google Inc dalam sebuah
wawancara pada tahun 2010 berkata "setiap 2 hari kita dianggarkan telah mencipta/menyediakan maklumat
yang sama banyak jumlahnya dengan maklumat yang kita cipta daripada bermulanya
peradaban manusia sehinggalah ke tahun 2003." Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa
pada hari ini kesemua daripada kita mempunyai akses kepada pelbagai maklumat dan
ilmu pengetahuan.
Oleh itu,
maka tidaklah menjadi satu kepelikan apabila masyarakat hari ini lebih
berpengetahuan dan ini mewujudkan individu yang mempunyai pendapat mereka
sendiri mengenai satu-satu perkara. Keadaan ini bukanlah suatu fenomena yang
perlu ditakuti oleh pemimpin malah saya rasa jika individu seperti ini terdapat
di dalam organisasi anda, maka fenomena perlu digalakkan lagi oleh pemimpin
anda.
Kepelbagaian
pendapat membolehkan satu-satu organisasi itu untuk mendapatkan pandangan
menyeluruh tentang sesuatu isu. Dalam situasi sebegini, saya berpendapat bahawa
seorang pemimpin itu harus mengamalkan sikap keterbukaan dan berusaha untuk
mewujudkan satu laluan untuk mencapai keputusan yang terbaik bagi menyelesaikan
satu-satu isu.
Setiap
pemimpin, dari pemimpin persatuan hinggalah pemimpin negara perlu menyedari
hakikat bahawa penyelesaian yang terbaik hanya boleh didapati apabila kita
membuka minda, hati dan telinga terhadap perbezaan pendapat. Saya yakin bahawa
mereka yang pendapatnya berbeza mempunyai niat yang sama iaitu mendambakan yang
terbaik untuk organisasi mereka.
Namun
begitu, saya juga turut berpendapat sekiranya satu-satu pemimpin itu tidak
melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berhadapan dengan
perbezaan pendapat, organisasi itu mungkin akan tempang dek kegagalan untuk
membuat keputusan. Berhadapan di sini bukan bermaksud menutup mulut atau tidak
memberi ruang kepada mereka yang berbeza pendapat, tetapi lebih kepada bagaimana
satu-satu pemimpin itu memanfaatkan kesemua pendapat dan mengaplikasikanya
sebagai landasan kepada sebarang keputusan.
Keterbukaan
di sini tidak juga bermakna pemimpin itu perlu menerima bulat-bulat
pandangan/kritikan dan pendapat yang diterima tetapi respons seorang pemimpin di
dalam situasi sebegini haruslah berlandaskan data, ilmu dan rasional serta tidak
menyandarkan tindak balasnya pada emosi
semata-mata.
Jelas pada
hari ini, pelbagai contoh berada di sekeliling kita semua tentang bagaimana
perbezaan pendapat itu boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif
berdasarkan sama ada seorang pemimpin itu mengamalkan sikap
keterbukaan.
Saya yakin bahawa bumi bertuah ini di hari yang mendatang akan
menyaksikan pemimpin yang bersikap terbuka dan meraikan perbezaan
pendapat.
“It is clear that the individual who persecutes a man, his brother, because he is not of the same opinion, is a monster.” - Voltaire
Tag :
Pemimpin,
Personaliti