Tak tahan diganggu SMS orang ketiga dorong penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang putuskan hubungan dengan Zalif
Menyelami hati Rafida Ibrahim, rupanya penyanyi dan pelakon ini sering ditimpa malang dalam berkasih. Baru hendak memulakan hubungan baru selepas kisah cintanya dengan Mamat Sepah berakhir, bibit perkenalan dengan Zalif Sidek juga menemui noktah gara-gara orang ketiga.
Ketika saling mengenali hati budi, apakan daya muncul individu yang mengaku teman wanita kepada pelakon berusia 28 tahun itu. Tambah memburukkan keadaan, dakwa Rafida, wanita terbabit sering mengugutnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tidak tahan dengan tohmahan dan desakan wanita terbabit yang sering mengugutnya meninggalkan Zalif, Rafida yang mesra disapa dengan panggilan Fida, mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hubungan mereka.
“Saya mengambil keputusan mengundur diri kerana tidak tahan dengan SMS yang dihantar. Kami tidak putus, sebaliknya menyepi begitu saja. Saya akui Zalif memang baik. Cuma orang ketiga yang membuatkan saya nekad untuk tinggalkan dia. Perhubungan kami sekejap saja dan dia boleh terima saya sebagai kawan, jadi saya tidak ada masalah untuk menerimanya sebagai kawan,” luah artis ini.
Hubungan yang terputus akhir tahun lalu itu tidak akan bersambung semula. Fida mahu menumpukan perhatian kepada karier seninya daripada memfokuskan soal cinta.
Pilih hati berbanding rupa
Serik untuk bercinta lagi, bagi Fida, kehidupannya sekarang lebih kepada diri sendiri dan kerjaya.
Bukan menolak takdir, tetapi jika sudah dipertemukan jodoh, Fida lebih selesa memikirkan soal berumah tangga daripada bercinta.
“Mungkin wanita itu fanatik dengan Zalif sehingga sanggup SMS saya dengan kata-kata yang kurang enak dibaca. Selain itu, ramai yang bertanya, kenapa pilihan hati saya agak berbeza daripada orang lain? Ini bukan soal rupa paras atau saiz tubuh, sebaliknya lebih kepada soal hati. Pilih yang tidak ada paras rupa menarik juga boleh putus di tengah jalan, apatah lagi yang kacak dan bergaya. Bagi saya, kalau itu sudah jodoh, saya terima,” katanya yang ditemui di majlis tayangan program raya dan berbuka puasa Astro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tak mungkin kembali berkasih dengan Mamat
Biarpun hubungannya dengan Mamat sudah lama berakhir, mereka kembali berkawan selepas muncul bersama dalam program Apa Saja FBI.
Kembali berhubung dan keluar bersama - namun bukan kerana ingin menjalin semula percintaan yang lama terlerai, Fida yang menginjak usia 27 tahun ini mahukan hubungan baik mereka terus kekal.
“Saya lihat Mamat sekarang lebih matang. Malah, dia sering menghubungi serta SMS saya. Kami juga pernah keluar lepak bersama kawan-kawan lain. Jika hendak dikatakan cinta akan bertaut kembali, ia tidak mungkin berlaku. Sejak berkawan semula, saya lihat dia pun sudah melupakan kisah lalu. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dia ingin kembali kepada saya,” katanya yang akan beraya di ibu negara iaitu di Kampung Baru.
Sibuk dengan karier seni terutama nyanyian, Fida akan muncul dengan single terbaru bersama kumpulan Stellar berjudul Wan Lebor selepas single pertama mereka, Apo Kono Eh Jang menambat hati pendengar.
0 Komentar untuk "Fida beralah"