Kuala Lumpur: Pengerusi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, dan lima artis veteran yang memfailkan saman terhadap SENIMAN serta tujuh individu lain dinasihatkan bersemuka bagi menyelesaikan kemelut dihadapi.
Penasihat SENIMAN, Datuk Aziz Satar, berkata kedua-dua pihak perlu menyelesaikan isu berkenaan tanpa membawanya ke mahkamah.
Perkara ini tidak perlu dipanjangkan hingga berlakunya kontroversi dalam SENIMAN dan perpecahan dalam kalangan penggiat seni tanah air.
Perbetul keadaan
Semua pihak perlu mengakui kesalahan masing-masing dan bersama memperbetulkan keadaan, bukannya membawa SENIMAN kepada risiko pembubaran, katanya ketika dihubungi, semalam. Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop, membenarkan permohonan lima artis veteran iaitu Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang selaku plaintif bagi menghalang Mesyuarat Agung Tahunan SENIMAN ke-15 diadakan.
Plaintif memohon perisytiharan bahawa Mesyuarat Agung SENIMAN Ke-14 serta Laporan Kewangan Tahun 2011 dan minit mesyuarat agung dibentang pada 26 Mei 2012 adalah tidak sah dan terbatal. Sementara itu, bekas Presiden SENIMAN, Harun Salim Bachik, berkata Zed adalah calon paling layak sebagai Presiden kerana banyak pembaharuan dilakukan sejak setahun menerajui SENIMAN.
0 Komentar untuk "Zed, artis dinasihat semuka selesai isu"