Syura
Menafikan keputusan juara MasterChef Selebriti Malaysia 2 (MCSM2) sudah dibocorkan pihak tertentu sebaik nama Syura diumumkan juara, malam kelmarin, Astro melihat desas-desus siapa pemenang sebagai perkara biasa dalam pertandingan program realiti berbentuk rakaman.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, berkata penyebaran gosip mengenai kemenangan penyanyi itu hanya telahan memandangkan nama pencabar terdekat, Celina Khor, juga turut digembar-gemburkan mengungguli gelaran sama.
“Selain nama Syura, Celina juga dikatakan muncul juara, jadi tiada apa yang pelik. Bagi kami ia sesuatu yang biasa, bukannya ada kebocoran maklumat yang sememangnya dirahsiakan produksi dan peserta hingga pengumuman akhir.
“Kita tidak dapat menghalang spekulasi daripada dikeluarkan pihak lain. Kini, teka-teki mengenai juara MasterChef Selebriti Malaysia musim dua sudah terjawab,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah, malam kelmarin.
Tunai nazar bawa ibu pergi umrah
Majlis penyerahan disempurnakan Raqim pada tayangan episod kemuncak MCSM2 yang turut menyaksikan pesaing terdekat Syura, Celina, yang juga pengacara menerima RM10,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Haiwan-Haiwan Kurang Dijaga Selangor.
Selain trofi dan ganjaran tiket penerbangan kelas perniagaan untuk dua orang, Syura berjaya mengumpulkan wang tunai RM60,500 yang disalurkan terus ke Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Wilayah Persekutuan.
Mengulas kemenangannya, Syura berkata, dia meletakkan kepentingan diri ke tepi kerana buat masa ini lebih memikirkan persediaan menunaikan nazar membawa ibu tercinta mengerjakan umrah.
Anak keenam daripada sembilan bersaudara itu mengakui memasang niat selepas melepasi satu persatu pusingan dalam 40 episod program realiti terbabit, hasil doa restu insan paling bererti dalam hidupnya, Samsiah Mohamad, 62.
Andai tiada aral, pemilik nama Zuraidah Badron, 27, itu merancang ke Tanah Suci sekitar September, namun perlu memastikan dulu kesihatan ibunya yang disahkan menghidap penyakit batu dalam hempedu.
“Kemenangan ini berkat doa semua terutama emak dan suami saya. Walau emak tidak sihat, dia sentiasa titipkan semangat supaya saya jangan menyerah serta buat yang terbaik. Saya sendiri tidak menyangka dapat pergi sejauh ini.
Jadi hidangan kelas pertama
“Gelaran sebagai juara sudah tentu satu penghormatan besar. Saya belum memikirkan hadiah ke Paris yang sememangnya destinasi impian saya dan suami, namun saya lebih teruja membuat persediaan menunaikan niat membawa emak mengerjakan umrah,” katanya.
Lebih istimewa, satu daripada hidangan air tangannya yang disajikan kepada 10 VVIP dalam cabaran akhir bertemakan menu Sajian Sehangat Bintang itu nanti bakal diperkenalkan di kelas pertama penerbangan MAS.
“Saya menyertai pertandingan ini kerana ingin belajar. Dari cabaran awal lagi saya nampak peserta lain punya kelebihan dalam masakan Barat. Dari situ saya banyak melihat resipi di internet dan dalam pusingan akhir berdepan Celina, saya menambah baik menu Barat yang saya masak ketika episod terawal. Apabila diumumkan menu itu akan dihidangkan kepada penumpang kelas pertama MAS, saya sangat terharu. Cuma seperti menyanyi dan bermain muzik, saya belajar menerusi gerak hati, begitu juga memasak. Saya cari resipi, seterusnya hanya mencuba di dapur MCSM2. Alhamdulillah ia menjadi,” katanya yang merancang mendalami bidang kulinari.
Rancang single baru
Menganggap segalagalanya seakan dipermudahkan Tuhan, anak jati Johor itu mengakui pengorbanan berpindah ke Kuala Lumpur sejak sebulan lalu untuk kembali aktif ke arena seni suara berbaloi kerana satu demi satu kemanisan dikecapi.
“Saya ikut suami tinggal di Pasir Gudang sejak berkahwin hinggalah dikurniakan tiga cahaya mata. Melihat anak semakin membesar, saya mengajak suami kembali ke Kuala Lumpur. Tidak mengambil masa panjang, permohonan suami bertukar sekolah diluluskan dan selepas itu saya pula ditawarkan menyertai MCSM2. Memang kami menangis dalam perjalanan ke rumah baru kerana sedih meninggalkan keluarga di Johor, selain menjual butik pengantin kami. Inilah pengorbanan. Nyanyian tidak akan saya ketepikan. Andai tiada aral, saya bakal tampil dengan single baru yang kini dalam perancangan,” ulasnya.
Bicaranya yang rancak berubah perlahan tatkala diminta berkongsi perasaan sebaik namanya dihebohkan sebagai pemenang sejak dua minggu lalu, seterusnya mengundang komen negatif sesetengah pihak.
Jujurnya, kata Syura, hatinya agak terguris dengan maklum balas beberapa kelompok penonton yang mempertikaikan andainya dia menang, namun masih bersemangat apabila sebahagian besar tetap mempercayai kebolehannya.
“Saya akan terus belajar dan mendalami bidang masakan. Ia cinta baru saya. Saya lihat reaksi negatif itu dari sudut positif, iaitu membakar semangat bagi membuktikan kemampuan sebenar. Insya-Allah, siapa tahu suatu hari nanti saya punya restoran sendiri,” tambahnya ringkas.
Peserta lain yang bertanding sejak April lalu ialah Micheal Ang, Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Norish Karman, Cat Farish, Syanie Hisham, Lydiawati, Enot, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Sabhi Sadhi, Sathiya, Radhi OAG, Yassin Yahya, Afiq Muiz dan Keroz Nazri.
0 Komentar untuk "Syura Juara Masterchef Selebriti Musim 2"