This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Mini

AWAL tahun 1994 menyaksikan pengeluar kenderaan premium Jerman iaitu BMW AG menyempurnakan pengambilalihan Rover Group di Britain.

Langkah itu diambil sebagai salah satu usaha mengembangkan rangkaian produk sedia ada.

Rover Group pada ketika itu memiliki beberapa jenama yang popular seperti Land Rover, Rover, MG, Triumph dan MINI. Rancangan asal adalah untuk mengabungkan Rover Group ke dalam BMW AG.

Namun, pelan itu gagal dizahirkan. BMW AG bertindak melupuskan jenama kenderaan di bawah Rover Group pada tahun 2000. Hanya jenama MINI sahaja dikekalkan di bawah BMW AG hingga hari ini.

Tahun 2001 menyaksikan pengenalan semula kenderaan MINI ke pasaran global. Kali ini, ia bukan lagi sebuah kereta kompak seperti era 1960-an. Tetapi telah diposisikan sebagai produk premium dalam segmen kompak.

Di bawah naungan BMW AG, sebanyak enam model MINI generasi baharu telah dihasilkan. Model itu ialah Hatchback, Clubman, Convertible, Countryman, Coupe dan Roadster.

Sewaktu pameran Detroit Auto Show 2011, MINI mengetengahkan sebuah model konsep iaitu MINI Paceman yang menimbulkan persoalan sama ada ia bakal sampai di saluran pengeluaran atau sebaliknya.

Segmen SAC

Naib Presiden Kanan Koordinasi Perniagaan dan Pengurusan Jenama MINI, Dr. Kay Segler pada pertengahan tahun lalu mengesahkan Paceman ialah model ketujuh MINI.

Baru-baru ini, BMW Group Malaysia telah memperkenalkan MINI Paceman ke pasaran tempatan. Buat masa ini, hanya satu varian sahaja ditawarkan iaitu MINI Cooper S Paceman.

Paceman dikategorikan dalam segmen Sport Activity Coupe (SAC) dan lahir daripada platform MINI Countryman.

Untuk makluman, Countryman ialah sebuah crossover kompak dalam kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dilancarkan di negara ini pada Mac 2011.

Perbezaan fizikal ketara antara MINI Paceman dan Countryman adalah jumlah pintu dan kerusi bahagian belakang.

Paceman didatangkan dengan dua pintu dan empat tempat duduk. Sementara Countryman pula memiliki empat pintu dengan kapasiti lima tempat duduk.

Wajah hadapan Paceman adalah sama seperti model Countryman. Bumbung jentera coupe itu ada iras-iras model Range Rover Evoque. Setakat ini, Paceman belum ada pesaing secara langsung.

Ruang kargo seluas 330 liter boleh ditingkatkan kepada 1,080 liter dengan menurunkan kerusi belakang.


Paceman membawa beberapa inovasi terbaharu ke dalam rangkaian kenderaan MINI. Pembaharuan paling ketara adalah adaptasi set lampu belakang yang diletak secara melintang.

Sebelum ini, semua model MINI generasi baharu dilengkapi set lampu yang memanjang ke bawah.

MINI Cooper S Paceman juga tampil sebagai produk MINI pertama di negara ini yang mempunyai plat nama di bahagian belakang.

Tindakan itu disifatkan tepat pada masanya memandangkan rangkaian produk dan pasaran MINI sudah berkembang ke dalam beberapa segmen baharu.

Pertumbuhan positif

Malah permintaan untuk kereta itu di Malaysia juga menunjukkan trend peningkatan. Buktinya, tempoh empat bulan tahun ini merekodkan pertumbuhan serahan kenderaan sebanyak 14 peratus.

“Pada tahun ini, sebanyak 121 buah MINI telah diserahkan berbanding 106 buah MINI pada tempoh yang sama tahun lepas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils.

MINI Cooper S Paceman dipasang enjin petrol empat silinder dan suspensi sport untuk mengekalkan warisan pemanduan go-kart dan berprestasi.

Satu butang sport didatangkan bersama model itu untuk meningkatkan keseronokan pemanduan di bandar.

Apabila butang itu ditekan, ia akan mengaktifkan program sport yang ditala khas dan mengubah respons enjin termasuk menambah kuasa ketika gear ditukar.

Bahagian kabin memaparkan susun atur kemas dengan mengekalkan ciri-ciri tipikal seperti panel instrumen meter dan meter laju bulat pada bahagian tengah papan pemuka.

Pembaharuan hanya melibatkan pemasangan butang kawalan tingkap pada bahagian panel pintu dan rekaan baharu corong pendingin hawa.

Susun atur kerusi belakang mengadun konsep ruang istirehat dengan ruang bahu dan kepala yang luas serta boleh diselaras.

METER laju berbentuk bulat ditempatkan di bahagian tengah papan pemuka yang memaparkan pelbagai maklumat semasa kepada pemandu.


Berhubung ruang kargo pula, kapasiti sedia ada adalah 330 liter. Ia boleh ditingkatkan kepada 1,080 liter dengan menurunkan kerusi belakang.

MINI Cooper S Paceman ialah produk pertama dalam rangkaian MINI yang didatangkan bersama ciri penuh MINI Connected termasuklah Mission Control.

Mission Control berfungsi memaparkan pelbagai maklumat berhubung perkembangan semasa sistem operasi kereta kepada pemandu. Tambahan lain ialah sistem radio MINI Visual Boost dan skrin paparan LCD 6.5 inci.

Didatangkan dalam lima pilihan warna termasuk dua warna baharu iaitu biru dan tembaga, model itu ditawarkan pada harga RM288,888 seunit.

Harga itu adalah atas jalan tidak termasuk insurans dan meliputi pakej servis MINI Tender Loving Care.

Sewaktu majlis pelancaran model itu, Pils mengumumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan rancangan pemasangan tempatan (CKD) MINI di kilang pengeluaran di Kulim, Kedah.

Pengeluaran MINI CKD itu dijadualkan bermula pada akhir tahun ini. Ia hanya untuk pasaran Malaysia dan masih belum ada rancangan untuk dieksport ke negara jiran.

Sumber memberitahu model CKD pertama ialah MINI Countryman. Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya.

Tag : Permotoran
0 Komentar untuk "Mini"
Back To Top