Bandar Diraja Kuala Kangsar memang ter-kenal dengan produk kraftangan labu sayong dan juga bangunan-bangunan yang tinggi nilai sejarahnya.
Kekayaan budaya dan sejarahnya menjadikan Kuala Kangsar antara destinasi popular dikunjungi di Perak Darul Ridzuan.
Lokasinya tidak jauh dari susur keluar Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara-Selatan, membuatkan bandar diraja ini mudah dikunjungi. Walaupun bandar bersejarah ini sudah mengalami pemba-ngunan pesat, nilai sejarahnya masih lagi kekal.
Mercu tanda pertama yang akan ditemui pastinya Bulatan Menara Jam di tengah-tengah kesibukan masyarakatnya.
Destinasi utama yang menjadi tumpuan pelancong adalah Bukit Chandan. Di sinilah letak binaan unik dan bersejarah yang amat terkenal di Malaysia. Bangunan utama yang paling mendapat perhatian ialah Masjid Ubudiah, masjid paling terkenal di Perak. Di Bukit Chandan juga terletak Istana Kenangan yang lebih dikenali Istana Kuning dan dibuka untuk orang ramai. Istana Iskandariah, istana rasmi Paduka Sultan Perak juga terletak di sini. Bagi yang berminat dengan koleksi peribadi Sultan Perak, melawat ke Galeri Sultan Azlan Syah yang terletak tidak jauh dari Masjid Ubudiah pasti mengujakan. Setiap pelawat dikenakan bayaran RM4 dan harus dii-ngatkan, mengambil gambar di dalam galeri adalah dilarang.
Di samping istana lama, Kuala Kangsar juga terkenal dengan pusat pendidikan elit Melayu yang tertua iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tempat di mana Tun Hussein Onn dan Paduka Sultan Perak mendapat pendidikan. Berhampiran MCKK juga terdapat sepohon pokok getah yang tertua di Malaysia berusia lebih 100 tahun dan dijaga dengan baik di pekarangan Pejabat Daerah Kuala Kangsar.
Mengunjungi Kuala Kangsar tidak lengkap jika tidak melihat perusahaan labu sayong. Dengan me-nyeberangi Sungai Perak melalui Jambatan Sultan Jalil, pelawat akan tiba ke Kampung Kepala Bendang, Mukim Sayong, satu kilometer dari pusat Bandar. Sepanjang jalan dapat dilihat bengkel memproses labu ini. Sekiranya berpeluang, pengunjung boleh membentuk kraftangan dengan tangan mereka sendiri.
Penat berjalan, singgah ke Taman Persisiran Sungai Perak dan Laman Budaya. Keenakan Laksa Kuala Kangsar dan cendol di gerai berdekatan pasti menghilangkan penat dan lelah seharian. Peluang melihat pemandangan Sungai Perak yang mengalir tenang dan Bazar Kraftangan untuk membeli cenderamata pasti menyeronokkan.
Bagi yang ingin menginap, inap desa dengan harga yang amat berpatutan banyak boleh didapati di sini.
Sememangnya Bandar Diraja Kuala Kangsar bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya, tetapi juga pelbagai tarikan yang lain dan amat sesuai untuk dijadikan destinasi lawatan seisi keluarga.
0 Komentar untuk "Bandar Diraja Kuala Kangsar"