This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Pemuda Kebanggaan Rasulullah SAW

Para pemuda ibarat roh dalam setiap tubuh komuniti ataupun kelompok; baik ia dalam skop kecil ataupun luas seperti negara. Mereka merupakan jentera penggerak kemajuan sebuah negara. Sebagai generasi penerus, kaum muda selalu dituntut untuk meningkatkan mutu dalam pelbagai dimensi kehidupan. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda (mafhumnya), "Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang-orang tua." - Riwayat Bukhari

Ungkapan Baginda SAW jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda SAW. Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman, bertakwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah Taala. Pemuda yang mewakafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya didaulatkan di tanah air ini khasnya dan di muka bumi ini amnya.

Pemuda yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah. Pemuda yang memiliki akidah yang benar, fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah.

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah.

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama diinjak oleh musuh dan lebih malang kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri.

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah SAW yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata-mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama tercalar angkara kejahilan dan kebejatan.

Ringkasnya, pemuda seperti inilah yang diperlukan oleh PAS untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah.

Pemuda PAS sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang, membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah. Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita-cita besar perjuangan Islam.

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid. Menang mendaulatkan syariat Allah Taala atau menang mengatasi desakan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan. Jika tidak, syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai.

Pemuda PAS sekali lagi ditegaskan, mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" (Islam) yang ingin “dipasar" (dakwah) kepada masyarakat.

Semangat semata-mata, jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata-ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat.

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah Taala. Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat.

Kesimpulannya, pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga. Bersedia apabila diperlukan, hadir apabila dipanggil, bertindak apabila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti (jemaah) dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak.

0 Komentar untuk "Pemuda Kebanggaan Rasulullah SAW"
Back To Top