This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

Ucapan PM–MAPPA XIII

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia,

YB Menteri-Menteri

YBhg. Dato' Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara,

YBhg. Datuk Farida Mohd. Ali, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan),

YBhg. Datuk Omar Osman, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS

Tuan-tuan dan puan-puan

1.     Terlebih dahulu, marilah sama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ketiga belas pada pagi ini.

2.     Seterusnya, penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Tadbiran Awan Negara atau INTAN atas penganjuran Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA dalam agenda utama tahunan untuk saya menyampaikan amanat dan hala tuju kepada semua penjawat awam.

3.     Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Omar Osman dan CUEPACS, kerana menjadi rakan kongsi Kerajaan dalam pembangunan negara dan proses mensejahterakan perkhidmatan awam.

4.     Pertama-tamanya jua, marilah kita yang beragama Islam menghadiahkan Ummul Kitab dan bagi yang bukan beragama Islam untuk bertafakur seketika, demi mengenang para pahlawan negara yang telah pergi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan negara tercinta di bumi Sabah baru-baru ini. Al-Fatihah.

Saudara dan saudari,

5.     Kita sentiasa menginsafi bahawa, tidak mungkin Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kala dan ketika ini, tanpa perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara. Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara.

6.     Makanya, kelapan-lapan wira negara yang telah gugur di medan juang, adalah sebuah manifestasi terbaik iltizam para penjawat awam terhadap negara dan amanah yang dipikul. Mereka meneruskan tradisi mulia generasi demi generasi yang telah menyarung uniform perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

7.     Iltizam mereka itulah yang telah membolehkan kita warga Malaysia menjalankan kegiatan seharian tanpa rasa bimbang dan takut, membolehkan anak-anak kita selamat di sekolah, membolehkan kita mencari rezeki dan pada akhir setiap hari pulang ke rumah kepada keluarga tercinta. Hakikatnya mereka telah membolehkan negara ini terus maju dan makmur.

8.     Terbukti, pengorbanan mereka bukan pengorbanan yang biasa, ia amat besar maknanya. Hari ini anak bongsu Allahyarham ASP Zulkifli bin Mamat yang masih dalam kandungan tidak berpeluang mengenal bapanya manakala anak-anak yang lain tidak lagi dapat bermanja dengan ayah mereka. Begitulah ibu bapa Koperal Mohd Azrul bin Tukiran yang tidak berpeluang menyaksikan Allahyarham menaiki jinjang pelamin. Termasuklah enam orang pahlawan negara lain yang telah terkorban. Putus sudah kasih sayang di antara anak dan bapa, suami dan isteri, ibu dan anak, saudara–mara serta sahabat taulan. Yang tinggal abadi hanyalah kenang-kenangan.

Saudara dan saudari,

9.     Yakinlah... Yakinlah bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

PENGUMUMAN INSENTIF/FAEDAH KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Saudara dan saudari,

10.   Seperti kita maklum, sepanjang empat tahun pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan telah digembleng dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Pastinya Kerajaan akan terus merencana pelbagai program bagi meningkat produktiviti serta motivasi penjawat awam. Jelasnya, sebagai sebuah Kerajaan yang cakna, kita komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana.

11.   Maka, dengan mengambil kira Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru iaitu SSB dan Sistem Saraan Malaysia yakni SSM, sukacita saya mengumumkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, Kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM. Sebagai contoh:

        11.1      Pertama: Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau     gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. 

        11.2      Kedua: Sarjan dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 27, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 29 Perkhidmatan Awam Am.

        11.3      Ketiga: Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 44 Perkhidmatan Awam Am.

        11.4      Keempat : Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji baru iaitu 46A.

        dan;

        11.5      Kelima: Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.

Saudara dan saudari,

12.   Sesungguhnya, kesetaraan ini dibuat bagi mempastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

Saudara dan saudari,

13.   Menelusuri realiti hubungan pentadbiran awam dan Kerajaan, sebagai sebuah negara, Malaysia tidak pernah statik berdepan dengan arus global yang berubah-ubah. Sejarah telah membuktikan, kita senantiasa dinamik dalam menangani cabaran untuk meletakkan negara pada barisan hadapan keluk perubahan. Terbukti, pencapaian yang dikecapi hari ini menjadi testimoni terbaik kejayaan kita dalam merencana dan mengemudi hala tuju negara semenjak merdeka.

14.   Bagaikan aur dengan tebing, bak irama dengan lagu, anggota pentadbiran dan penjawat awam telah bertindak seia dan sekata membawa perubahan positif dalam tempoh 5 dekad. Secara berterusan, hembusan angin perubahan ini terasa di setiap ceruk dan pelosok negara melibatkan segenap lapisan masyarakat.

15.   Hari ini negara akan terus belayar digerakkan angin Dasar Transformasi Negara menuju ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dasar Transformasi Negara yang ditunjangi prakarsa Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Politik dan Pelan Transformasi Sosial ini sedang giat diatur gerakkan melalui pelbagai program yang disusun rapi.

Saudara dan saudari,

16.   Selanjutnya, berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya. Kekuatan usaha kolektif kerajaan, pentadbiran awam, pihak swasta dan rakyat ini telah membolehkan kita secara tali-menali melawan arus kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang secara purata pada kadar lebih 5% sejak tahun 2010. Sehubungan itu, InsyaAllah pada 19 haribulan Mac ini saya akan membentangkan sebuah “report card” atau kad laporan kepada rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari,

17.   Sesungguhnya penjawat awam menyumbang secara besar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran. Begitu juga dalam mempastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan. Untuk pengorbanan serta profesionalisme mereka yang tidak mengenal penat lelah mahupun kepentingan peribadi ini, saya bagi pihak Jemaah Menteri, anggota pentadbiran yang lain serta rakyat Malaysia ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih.

Pencapaian Perkhidmatan Awam

Saudara dan saudari,

18.   Di bawah payung falsafah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan juga, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memaksimakan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

19.   Dua contoh terbaik ialah pertamanya, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah menjadi kenyataan dalam tempoh begitu singkat dengan perbelanjaan minimum. Khidmat yang memberi kemudahan kepada rakyat ini dibuka selepas waktu bekerja sehingga malam. Keduanya, pengenalan 1MOCC atau 1Malaysia One Call Centre bagi memudahkan hubungan rakyat dengan pihak penjawat awam tanpa mengira jabatan mahupun kawasan.

20.   Pengenalan inisiatif-inisiatif baru ini menandakan pergerakan dalam pemikiran serta falsafah tentang bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Jadinya, kerangka baru pemikiran perkhidmatan awam harus menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sistem Nilai Baru Perkhidmatan Awam

21.   Kerajaan juga tanpa jemu senantiasa menyeru penjawat awam agar memberikan khidmat terbaik menepati peredaran dan kehendak masa. Sesungguhnya, penjawat awam diukur keberkesanannya bukan sahaja melalui kecanggihan peralatan digunakan bahkan merangkumi budaya, nilai, budi bahasa serta motivasi dalam menjalankan dan menyampaikan tugas.

22.   Tentunya, matlamat utama penjawat awam ialah kesejahteraan rakyat. Semboyan utama Perkhidmatan Awam adalah perkhidmatan untuk rakyat. Rakyat mestilah terus didekati dan disusuri, difahami dan difahamkan, didengar keluh kesahnya serta dirasai setiap denyut nadinya supaya dapatlah bagi kita memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.

23.   Setiap penjawat awam adalah agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara rakyat dan Kerajaan. Perkhidmatan Awam yang bertunjangkan dan berpaksikan rakyat diikat hubungan dengan tersemainya kebolehpercayaan dalam memberikan khidmat paling murni tanpa mengira tempat, masa dan rupa.

Cabaran Perkhidmatan awam

Saudara dan saudari,

24.   Tahun 2020 sudah semakin menghampiri kita. Sebagai warga global yang berdepan dengan realiti ledakan maklumat serta kemajuan komunikasi era terkini kita perlukan kebijakan untuk menanganinya. Sering saya ulang-ulangkan, era di mana kerajaan mengetahui segalanya serta memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir. Perkembangan teknologi pada hari ini telah merubah segala bentuk kefahaman, amalan, akses serta budaya yang mendasari hubungan di antara rakyat dan kerajaan.

25.   Mendakap realiti semasa, kehendak dan jangkaan rakyat adalah perkhidmatan yang bersifat 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Kehadiran fizikal di bangunan-bangunan Kerajaan secara progresif digantikan dengan akses ke portal dan aduan melalui e-mel manakala pendekatan berterusan di luar kawasan fizikal pejabat dan di luar waktu urusan maklumat perkhidmatan berlaku melalui media sosial.

26.   Penjawat awam mestilah menguasai teknologi hari ini untuk mempastikan kekal relevan dengan peredaran masa. Kemahiran komunikasi baru ini hendaklah menjadi teras setiap penjawat awam terutama yang tugasnya berhadapan dengan rakyat secara langsung.

27.   Hakikatnya, kita kini hidup dalam dunia bermaklumat yang aksesnya tiada sempadan. Reka bentuk kerangka kehidupan pada hari ini diacukan dan dipacukan oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang kita terima. Untuk itu, penjawat awam seharusnya bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketepatan tanpa melanggar peraturan atau rule of law agar perjalanan sistem pentadbiran tidak dikompromikan keabsahannya.

Saudara dan saudari,

28.   Secara sedar ataupun tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisa serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara melalui kanta alam maya. Oleh itu dalam era maklumat terbuka ini tidak ada individu, jabatan, kementerian mahupun institusi yang terlepas daripada pemerhatian mereka.

29.   Namun integriti kita sebagai penjawat awam mestilah dipelihara bagi mempastikan ketirisan wang atau ketirisan maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku. Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negara. Saya ingin mengingatkan, jauhilah tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam. Penyakit-penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

30.   Setiap tahun Kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk belanja pembangunan. Jika dibelanjakan dengan betul dan menepati jadual yang telah direncanakan, maka ia akan mendatangkan manfaat yang maksimum kepada rakyat dalam mencerminkan Kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

31.   Namun, apabila membuat tinjauan-tinjauan mesra, turun padang mendekati rakyat, sering kali sampai kepada saya rungutan orang ramai bahawa permohonan-permohonan mereka kepada agensi-agensi berkaitan telah ditolak atas alasan bajet tidak mencukupi. Walaupun memang benar ada kekangan kemampuan kewangan Kerajaan, apa yang menghairankan terdapat peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dipulangkan semula kerana tidak diuruskan mengikut jadual.

32.   Oleh yang demikian, setiap penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baru dengan konsep yang lama.

33.   Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar semata-mata tetapi juga bergantung pada kejayaan berkomunikasi yang menentukan sejauh mana penerimaan masyarakat kepada sesuatu dasar itu dan kejayaan menangani kesan-kesan dari dasar tersebut.

34.   Sungguhpun, kejayaan pelaksanaan sesuatu dasar akan meningkatkan wibawa penjawat awam, akan tetapi yang lebih mustahak, tahap kefahaman dan penerimaan masyarakatlah yang akan memperkukuhkan lagi keberkesanan juga keabsahan sesuatu dasar yang digubal.

35.   Dalam era terbuka hari ini, dengan maklumat yang bersifat “real time”, kepimpinan sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai. Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan, dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan Kerajaan.

36.   Pemimpin Perkhidmatan Awam juga mestilah bijak membuat keputusan untuk memimpin bila perlu, untuk memperkasakan rakyat bila perlu dan menggalakkan kepimpinan mereka yang berkepentingan bila perlu demi membuahkan hasil terbaik. Maka, Pemimpin Perkhidmatan awam mestilah seseorang yang mampu belajar dari yang lain, dapat membina jambatan kepercayaan dengan yang lain sekaligus mengupayakan yang lain.

37.   Lantaran itu kepimpinan sektor awam mestilah mempelajari dan menguasai bagaimana untuk mencedok kebijaksanaan kolektif rakyat demi menambahkan korpus ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang kemunculan reka bentuk atau tingkah laku masyarakat mutakhir. 

Penyusunan Semula Prioriti Bandar dan Luar Bandar

Saudara dan saudari,

38.   Apabila kita mula-mula mencapai kemerdekaan hampir 70% peratus penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan lebih 60% warganegara berada di bawah garis kemiskinan. Hasil usaha berterusan Kerajaan, kemiskinan tegar telah berjaya diletakkan dalam lipatan sejarah manakala kemiskinan relatif sentiasa ditangani secara sistematik. Perancangan rapi disertai dengan pelaksanaan yang bijaksana membolehkan pembangunan dinikmati segenap lapisan rakyat di bandar mahupun di desa.

39.   Kejayaan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan lebuh raya serta pembukaan tanah rancangan FELDA dan FELCRA telah meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan yang dinikmati majoriti rakyat Malaysia di samping mempercepatkan proses urbanisasi. Sebilangan besar agensi-agensi Kerajaan pasca merdeka telah ditubuhkan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada kawasan luar bandar dan pendalaman di mana majoriti penduduk Malaysia tinggal.

40.   Hari ini hampir 70% warga Malaysia merupakan penduduk bandar. Realiti baru hasil kejayaan kita ini memerlukan penyusunan semula keutamaan kita dalam menangani isu mengkhidmati bandar dan luar bandar. Penyusunan semula keutamaan ini juga memerlukan perubahan yang selari dari segi set minda dan pemikiran penjawat awam. Ini juga menuntut perubahan struktur dalam organisasi.

41.   Jika di kawasan luar bandar, mekanisma penyampaian pembangunan Kerajaan sudah begitu sistematik dan lengkap, begitu juga struktur sokongan sosial yang teratur, maka kita turut ingin mewujudkan mekanisma yang sama serta struktur sokongan masyarakat yang sedemikian di bandar. Ini akan mewujudkan penyertaan lebih menyeluruh di kalangan rakyat seterusnya melambangkan perubahan demografik.

42.   Selanjutnya, dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar, saya telah mengarahkan pihak PR1MA supaya menyediakan skim rumah mampu milik  yang akan dibina di atas tanah-tanah Kerajaan. Secara amnya, ia ditawarkan pada harga minimum 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Diharapkan ini dapat meringankan beban penjawat awam.

Saudara dan saudari,

43.   Pepatah berbunyi, lidah itu tidak bertulang. Baru-baru ini, ada janji dibuat oleh pihak tertentu dalam manifesto mereka  kononnya hendak melihat dan menyusun semula perkhidmatan awam. Hatta, ada ura-ura mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Kata lainnya, mereka mahu memberhentikan sebahagian besar penjawat awam. Siapakah yang mereka mahu berhentikan? Mahu berhentikan para guru? Anggota polis? Anggota tentera? Pensyarah? Para doktor? Jururawat? Kumpulan pelaksana? Siapa?

44.   Pokoknya, biarlah saya tegaskan di sini, dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan awam ini, mereka baru setakat nak berjanji sedangkan hakikatnya Kerajaan ini telah pun dan sedang berbuat yang terbaik untuk perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam terus bersifat inovatif, kreatif, produktif lagi berprestasi tinggi.

MENGHARGAI PENJAWAT AWAM

Saudara dan saudari,

45.   Kerajaan senantiasa peka terhadap beban dan tanggungan penjawat awam apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa. Dalam tempoh antara 2007 hinggalah 2012 gaji asas penjawat awam gred 1 hingga 40 telah dinaikkan kepada 48%; sementara kumpulan 41 hingga 54 telah merasai peningkatan sebanyak 28% dan di peringkat JUSA 14.5%. Sekali lagi saya nak nyatakan, ini bukan sekadar janji atau seumpama menanam tebu di bibir. Ini bukan sekadar memintal impian-impian kosong. Tetapi inilah janji-janji kita yang telah dikotakan.

46.   Seperkara penting lagi, Kerajaan senantiasa menekankan pembangunan sumber manusia terutamanya di kalangan penjawat awam. Justeru, pembangunan kepimpinan di setiap lapisan bagi setiap skim perkhidmatan sektor awam mestilah selari dengan perubahan yang menekankan kualiti, kemahiran serta kompetensi. Bagi negara kita yang sedang rancak menjalani proses transformasi, pemimpin perkhidmatan awam juga mestilah bergerak senada dengan peralihan dalam pembangunan kepimpinan yang semakin mencabar.

47.   Selain itu juga, perubahan struktur dan institusi mestilah dilakukan dalam sektor awam supaya selari perkembangannya dengan sektor lain. Program penambahbaikan kepimpinan di kalangan pemimpin sektor awam sewajarnya bukan sahaja bersifat sekadar memenuhkan kuota kursus tetapi perlu dijadikan mekanisme penilaian yang berterusan dan menyeluruh guna mendedah dan mempersiap pimpinan masa hadapan sektor awam.

48.   Dalam hal ini, saya percaya kepada peranan yang mampu dimainkan oleh institusi latihan lanjutan seperti Razak School of Government. Jika INTAN bertanggungjawab menyediakan latihan permulaan kepada para penjawat awam, RSOG pula bertindak sebagai sekolah lanjutan atau dalam istilah dunia ketenteraan sebagai “Command and Staff College” yang akan melatih barisan tertinggi kepimpinan sektor awam pada masa-masa mendatang.

Saudara dan saudari,

49.   Institusi Perkhidmatan Awam yang utuh dan padu seharusnya mempunyai modal insan kompeten seiring dengan peta panduan dalam merealisasikan wawasan negara. Selaras waktu, landskap Perkhidmatan Awam bakal berubah di mana Kerajaan bersetuju secara prinsipnya supaya kelayakan masuk minimum ke Perkhidmatan Awam ditambah baik dan ditetapkan pada kelayakan Penilaian Menengah Rendah atau PMR.

50.   Saya dimaklumkan bahawa JPA telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan tugas yang sewajarnya. Skim-skim perkhidmatan yang terlibat adalah kelompok gred jawatan dan gred gaji 1 hingga 10 yang akan dinaikkan taraf ke gred jawatan atau gred gaji yang setaraf dengan kelayakan masuk PMR.

51.   Contoh skim perkhidmatan yang terlibat antaranya Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3. Proses perbincangan dalam memuktamadkan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan tersebut dijangka akan selesai sebelum akhir tahun ini. Dengan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan berkenaan, maka daripada segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya yang lebih baik dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji mereka.

52.   Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, Kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

53.   Seterusnya, Kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat ini, akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

54.   Di samping itu, Kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan.

55.   Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka Kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak 3 KGT.

56.   Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini sebagai menghargai penjawat-penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat-penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Saudara dan saudari,

57.   Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya Kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performance”.

58.   Mengambil kira pula usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka Kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Maknanya setiap penjawat awam akan mendapat antara RM80 hingga RM320. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 1.5 billion. Ini sejajar dengan falsafah dipegang oleh Kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

59.   Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, Kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

60.   Kepada para pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50 ribu orang, saya mendengar keluh kesah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kerajaan ini adalah Kerajaan yang prihatin terhadap tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju, bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi, sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

61.   Semua inisiatif-inisiatif yang saya umumkan tadi adalah merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang sedang dilaksanakan. Sebuah suruhanjaya juga telah ditubuhkan untuk mengkaji Perkhidmatan Awam Malaysia secara menyeluruh ke arah melahirkan perkhidmatan awam yang berwibawa dan dihormati. Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan, dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sukacita saya umumkan sistem saraan yang baru ini dinamakan Sistem Saraan Transformatif atau SST

PENUTUP

Saudara dan saudari,

62.   Tidak lama lagi sebagai rakyat Malaysia yang telah mendaftar, kita akan diminta menunaikan amanah sebagai warganegara bagi memilih Kerajaan yang diingini. Para penjawat awam sebagai warganegara Malaysia juga bebas memilih namun saya ingin menyeru kepada para penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya agar menggunakan kuasa ini dengan sebijak mungkin.

63.   Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya untuk mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau sejarah menunjukkan janji yang lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan, maka berhati-hatilah dengan janji baru. Kita perlu lebih berjaga-jaga apabila pihak-pihak ini sering menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala. Begitulah kalau mana-mana pihak mencanangkan itu dan ini secara percuma maka kita perlu bertanya kepada mereka dari manakah pembiayaan tersebut datang. Jawapan mereka kononnya kekanglah ketirisan. Di sini saya ingin jelaskan, mana mungkin, kerana premis kepada anggaran ketirisan yang cuba mereka tunjukkan, dibuat secara berwenang dan semberono, tanpa berasaskan kewajaran fakta.

64.   Soalnya, sebagai pihak yang mahu memperoleh kepercayaan bagi membentuk Kerajaan mereka perlu berterus terang dengan rakyat, bahawa, tidakkah pembiayaan semua program mereka memerlukan kepada cukai dinaikkan?

65.   Lantas, kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari segi menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukannya janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bagi mereka bukannya boleh dianggap janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka itu.

Saudara dan saudari,

66.   Sebaliknya, jika mahu, Kerajaan Barisan Nasional boleh saja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi tanpa mengira kemampuan kewangan Kerajaan. Ya, tentunya Kerajaan ini akan menjadi lebih popular. Ya, semua pihak akan merasa seronok, semua orang akan berasa teruja, tetapi itu hanyalah buat seketika. Sebenarnya, kita perlu berfikir dengan waras apa akan terjadi kemudian hari nanti akibat daripada tindakan populis itu. Oleh yang demikian, pucuk pangkalnya, kita akan istiqamah menjadi sebuah Kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab, tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Saudara dan saudari,

67.   Marilah kita bersama-sama untuk menjayakan Malaysia, marilah kita bersama-sama membina sebuah negara yang boleh dibanggakan. Malaysia untuk semua. Yang tua dan yang muda, yang berpendapatan rendah, yang sederhana dan tinggi. Ringkasnya, dari semua segmen serta strata masyarakat Malaysia yang ada.

68.   Kalau kita bersatu hati, bahu membahu, ganding berganding, InsyaAllah, dengan izin Tuhan, kita akan mampu membina kehidupan masa depan jauh lebih baik dari hari ini untuk anak-anak cucu. Janganlah kita pandang rendah kejayaan yang ada. Kita hari ini, ialah sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi di atas landasan yang kemas untuk menuju status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

69.   Tanyalah juga saudara dan saudari, apakah masa depan Malaysia menjanjikan prospek yang lebih cerah. Jika jawapannya ya, ayuhlah bersama-sama kerajaan hari ini untuk meneruskan dan menambahbaik kejayaan yang sedia ada. Bingkaslah membentuk barisan dan saf yang lurus. Beringatlah, bahawa masa depan kita, anak-anak cucu kita dan keluarga kita terlalu penting untuk dipertaruhkan sebagai bahan eksperimen.

Saudara dan saudari,

70.   Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua penjawat awam bagi mempastikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional. Tanpa Tuan-Tuan dan Puan-Puan, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan agenda nasional yang mulia ini.

71.   Ketahuilah, bukan semua Kerajaan sama. Ada Kerajaan yang bertanggungjawab ada yang tidak, ada Kerajaan yang berkesan dan cekap dan ada juga Kerajaan yang tidak, ada Kerajaan yang memanfaatkan rakyat dan ada Kerajaan yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Buatlah keputusan yang sebetulnya. Mudah-mudahan kita diberi petunjukNya.

Tag : Politik
0 Komentar untuk "Ucapan PM–MAPPA XIII"
Back To Top