This blog is under FaceLift, to serve you better, Sorry for any incovinience...

About The Soonex

Get in Touch

Your e-mail address is incorrect. Please check it and try again.

Thanks for your subscription!

KELANTAN - sumber kewangan FAM

NAMPAK gayanya, Kelantan terus menjadi persatuan ‘pilihan’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk ‘menyumbang’ sumber kewangan kepada badan induk bola sepak negara itu.
Mana tidaknya, hampir setiap tahun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berada dalam senarai pasukan yang dihukum oleh FAM atas kesalahan-kesalahan membabitkan faktor keselamatan.

Hukumannya bukan belasan ringgit Malaysia, tetapi puluhan ribu.
Boleh dikatakan bahawa KAFA setakat ini, antara penyumbang sumber kewangan terbanyak kepada FAM menerusi denda yang dikenakan, hanya disebabkan kerenah penonton.
Sejak beberapa tahun lalu, FAM kecewa kerana setiap kali berlangsungnya perlawanan liga, stadium di semua negeri kosong, tetapi apabila penonton kembali membanjiri stadium, FAM pula yang mencari peluang untuk menghukum pasukan.
Penonton buat hal sikit, FAM ‘senyum’ kerana bagi mereka, pasukan terbabit pasti akan didenda.
Bila denda yang begitu tinggi nilainya dikenakan kepada pasukan terbabit, tidak mustahil selepas ini, stadium akan kembali kosong, dan peluang FAM untuk raih duit daripada denda, akan berkurangan.
Semalam, FAM sekali lagi menghukum KAFA dengan jumlah yang begitu besar iaitu RM62,500.
Selain itu, FAM juga memberi amaran kepada KAFA bahawa pasukan mereka bakal beraksi tanpa kehadiran penyokong sekiranya aspek keselamatan tidak diberi keutamaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman mengesahkan bahawa KAFA telah didenda dengan jumlah tersebut berdasarkan empat kesalahan ketika aksi perlawanan menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV pada 15 Januari lalu.
Ednan memberitahu, keputusan itu dibuat berdasarkan bukti serta laporan daripada pegawai pertandingan yang melibatkan isu keselamatan di Stadium Sultan Muhammad ke pada aksi Liga Super.
Jelasnya, KAFA didenda sebanyak RM20,000 atas kesalahan penyokong membaling mercun dalam stadium ketika perlawanan berlangsung.
“Bagi kesalahan kedua, KAFA didenda sebanyak RM2,500 ekoran kesalahan penonton membaling objek di luar padang serta kesalahan ketiga, penyokong membaling objek kepada penyokong-penyokong Johor DT yang menyebabkan KAFA didenda sebanyak RM20,000.
“Kesalahan keempat KAFA adalah gagal menyedia piawaian keselamatan yang lebih terjamin yang mana KAFA didenda sebanyak RM20,000.
“Hukuman tersebut adalah paling minimum dan KAFA tidak dibenarkan membuat rayuan, namun Kelantan tidak mengaku salah (atas pertuduhan itu).
“FAM menangguhkan (hukuman) seketika untuk menghukum KAFA beraksi tanpa kehadiran penyokong selepas menyaksikan kegagalan mereka berhubung dengan isu keselamatan.
“Begitupun, kami memberikan peluang kepada KAFA dan pihak kami akan menghantar pegawai-pegawai untuk menilai tahap keselamatan di Stadium Sultan Muhammad IV (bermula pada perlawanan menentang Perak pada 1 Mac depan).
“Jika masih gagal berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan hukuman beraksi tanpa penonton,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tatatertib FAM di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.
Pada mesyuarat tersebut, Ednan turut memutuskan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar kecil) digantung dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah melanggar Statut FAM iaitu Artikel 88.
Katanya, Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kewangan FAM dan AJK Bola Sepak Wanita didenda sebanyak RM38,000 di atas tiga kesalahan mempersoalkan kredibiliti FAM.
Selain itu, Shahidan turut didenda RM1,000 selepas didakwa menghina jawatankuasa tatatertib FAM apabila gagal membalas surat pertuduhan pada masa yang ditetapkan.

Tag : Ekonomi
0 Komentar untuk "KELANTAN - sumber kewangan FAM"
Back To Top