Penentang Presiden Mohamed Mursi bertempur dengan pasukan polis (tidak kelihatan) semasa mengadakan tunjuk perasaan di Port Said
|
KAHERAH 28 Jan. - Perintah berkurung dikuatkuasa di tiga wilayah di
Terusan Suez, hari ini selepas Presiden Mesir mengisytiharkan perintah
darurat di wilayah-wilayah itu ekoran keganasan terus memuncak di negara
ini, sejak hujung minggu lalu yang mengorbankan lebih 50 orang.
Tindakan Presiden Mohammed Mursi itu mengingatkan tindakan yang
pernah digunakan oleh bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak ketika
mengekang kumpulan penentang di negara ini semasa kebangkitan rakyat
yang akhirnya membawa kejatuhan Hosni.
Namun, tunjuk perasaan kali ini tercetus sebagai membantah dasar
Islam yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Mursi dan perubahan yang
didakwa terlalu perlahan di negara ini.
Mursi yang berang dengan keadaan yang berlaku, berikrar ketika
berucap di televisyen, semalam dengan menyatakan bahawa beliau tidak
akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih keras bagi membendung
keganasan di seluruh negara ini.
Mursi menegaskan bahawa beliau akan memastikan negara ini tidak akan kembali kepada kerajaan autoritarian.
Keganasan terburuk berlaku di bandar Port Said, lokasi yang
menyebabkan tujuh orang maut, semalam, sekali gus meningkatkan angka
korban kepada sekurang-kurangnya 44 orang.
Ketegangan yang bermula sejak Sabtu lalu itu memuncak selepas
mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati ke atas 21 defendan yang terlibat
dalam rusuhan bola sepak di Port Said pada Februari lalu yang
menyebabkan 74 orang maut. - AGENSI
Tag :
Dunia
0 Komentar untuk "Mesir isytihar perintah darurat"