MEMANG benar, kasut bertumit tinggi
pelengkap gaya seseorang wanita. Selain rekaannya yang cantik, kasut tumit
tinggi membuatkan wanita berdiri dengan gaya menawan berbanding berkasut
rendah.
Malah ia menambah sentimeter pada si
pemakai agar kelihatan setanding dengan supermodel yang berjalan di pentas
peragaan. Sekali gus, ia meningkatkan keyakinan diri dan membuatkan si
pemakainya lebih menarik.
Realitinya, tiada yang baik mengenai
kasut tinggi kecuali rekaannya.
Apa yang wanita tidak sedar atau
pura-pura tidak sedar, pemakaian kasut tinggi merosakkan badan mereka.
Selain kecenderungan yang tinggi
untuk terseliuh di bahagian buku lali, pelbagai lagi masalah disebabkan oleh
kasut bertumit tinggi seperti radang saraf dan ligamen, sakit pada belakang buku
lali, otot betis memendek dan sakit belakang yang kronik.
MasalahPengarah Urusan MyOrtho dan
Pakar Orthotik dan Prostetik, Edmund Lee berkata, kaki adalah asas badan yang
perlu dijaga dengan betul agar tidak mengganggu sistem lain yang menjejaskan
kesihatan.
"Masalah yang sering dihidapi mereka
yang gemar berkasut tumit tinggi antaranya bunion (hallux valgus) iaitu ibu jari
kaki masuk ke dalam ke arah jari kedua lalu menyebabkan benjolan pada bahagian
luar kaki di sebelah ibu jari kaki.
"Ini akan menyebabkan rasa tidak
selesa timbul terutamanya ketika memakai kasut yang bertutup di hadapan dan
runcing sehinggakan ada kes memerlukan pembedahan, bergantung kepada
tahapnya.
"Tekanan berat badan pada hujung kaki
juga akan menyebabkan jari ketiga dan keempat menyempit lalu menyebabkan
kesakitan pada saraf.
"Keadaan itu juga akan menyebabkan
darah tidak dapat bergerak dengan betul kerana tersekat lalu menyebabkan
kesakitan.
"Betis turut akan memendek dan tegang
akibat tumit tertolak ke atas dan akibatnya kaki sering mengalami kekejangan dan
sakit di bahagian tumit," ujarnya yang baru-baru ini mengadakan Karnival
1Malaysia Kaki dan Tulang Belakang Sihat di Tropicana City Mall, Petaling Jaya.
Karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran penjagaan kaki dan tulang belakang
di Malaysia.
Menurut Edmund, kulit di beberapa
bahagian kaki yang sering menerima tekanan akan mengeras seperti di bahagian
tapak kaki, di bawah jari serta bahagian tepi hujung kaki.
Lutut pula akan mula sakit kerana
kasut tinggi menyebabkan badan tidak stabil lalu lutut digunakan untuk
menyeimbangkan badan.
Kasut tumit tinggi turut menyebabkan
kesakitan akibat saraf bengkak atau menebal pada bola kaki yang digelar morton's
neuroma, pembesaran tulang di belakang tumit (kecacatan haglund) dan jari
bengkok (claw hammer).
Selain bahagian kaki, masalah serius
yang dihidapi oleh si pemakai kasut bertumit tinggi yang tegar ialah sakit
bahagian tulang belakang.
Menggunakan kasut tumit tinggi akan
menyebabkan pinggul condong ke depan dan menambahkan lengkungan pada tulang
belakang.
Tulang belakang akan miring ke
belakang bagi menyokong keseimbangan badan lalu memberikan tekanan pada tulang
belakang.
Pencegahan Terang Edmund, tidak salah
jika tidak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan fesyen berkasut tumit tinggi
asalkan tidak memakainya dalam tempoh yang lama dalam satu masa dan mengamalkan
pelbagai langkah penjagaan seperti senaman kaki selepas berkasut tumit tinggi.
"Seelok-eloknya, kasut bertumit
tinggi hanya dipakai pada majlis tertentu untuk tempoh beberapa jam sahaja.
"Beri sokongan yang lebih terhadap
tapak kaki dengan memilih kasut tinggi yang mempunyai tapak berbentuk atau
menggunakan lapik dalam kasut khas mengikut bentuk kaki sendiri.
"Kasut bertumit tinggi yang melebihi
empat inci ketinggiannya amat bahaya kepada kaki dan tulang belakang di samping
menjejaskan keselamatan si pemakai," ujarnya.
Ketinggian yang sesuai dengan bentuk
kaki sebenarnya paling maksimum setinggi 1.5 inci sahaja untuk kegunaan dalam
tempoh lama.
Ujarnya lagi, senaman dan regangan
amat perlu terutamanya bagi mereka yang sering menggunakan kasut tumit tinggi
setiap hari seperti model dan pramugari.
Senaman dilakukan dengan melunjurkan
kaki dan mengangkat hujung kaki beberapa kali bagi memberi kelegaan pada buku
lali.
Regangan kaki terutama pada bahagian
betis boleh dilakukan dengan menjarakkan kaki ke bahagian sisi dan menekannya ke
bawah beberapa kali.
Juga digalakkan bertemu dengan pakar
orthotik dan prostetik bagi menjalani rawatan manipulasi kaki bagi membetulkan
tulang yang sering bergesel bagi mengurangkan geseran.
"Apa pun, penjagaan kaki dari awal
amat penting supaya tidak memudaratkan ketika tua," ujarnya.
Tag :
Kecantikan,
Kesihatan
0 Komentar untuk "Mahu Cantik atau Sakit?"