Ibu seorang pelajar datang berjumpa suatu petang. Katanya anak perempuannya tidak pulang ke rumah. Setelah disemak kedatangannya dengan guru kelas didapati dia juga tidak datang ke sekolah.
Ibu itu menangis di hadapan saya. Dia seorang ibu tunggal. Suaminya entah sudah hilang ke mana. Oleh kerana kesempitan dia terpaksa membuat pelbagai jenis kerja untuk menyara hidup dan menanggung dua orang anaknya yang sedang bersekolah.
Anak sulungnya seorang perempuan yang sedang belajar di Tingkatan Dua. Anak keduanya seorang lelaki yang sedang belajar di sekolah rendah. Anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah.
Saya kenal akan pelajar ini kerana pernah dirujuk kepada saya atas masalah ponteng. Dia pernah didenda, dan diberikan nasihat. Pelajar ini agak cantik tetapi tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas.
Ibunya memberikan beberapa nama pelajar lain yang sering kali bersamanya. Dia meminta saya mencari anaknya. Dia sangat bimbang akan keselamatan anaknya kerana sudah semalaman tidak pulang ke rumah.
Setelah berbincang dengan pembantu saya, kami keluar mencari pelajar yang hilang. Kami mencari di bandar, di tempat-tempat hiburan dan di taman-taman. Akhirnya berjaya juga kami menemui pelajar tersebut bersama seorang pelajar lain sedang bermain buaian.
Mereka tidak lari melihat kedatangan kami dengan bas sekolah. Mereka juga tidak kelihatan takut. Mereka penat dan seolah-olah hilang arah tuju. Kami membawa mereka kembali ke sekolah.
Secara berasingan kami betemu dengan kedua-dua orang pelajar sekembali ke sekolah. Oleh kerana permintaan ibunya, saya memilih untuk menyoal pelajar Tingkatan Dua tadi. Kami berbual agak panjang. Saya tidak marah kepadanya kerana tidak pergi ke sekolah tetapi cuba mendapatkan cerita sebenar di sebalik tindakannya itu.
Dia tidak banyak bercakap pada mulanya. Tetapi apabila soalan yang sama tetapi ditanya dengan pelbagai cara akhirnya dia terperangkap dan rahsia terbongkar sedikit demi sedikit. Dia keluar bersama teman lelakinya. Mereka berdua-duaan dalam kerete di tepi pantai. Sebelum subuh mereka kembali ke rumah teman lelakinya. Ibu bapa lelaki itu sudah tidur. Mereka tidur bersama.
Itulah pengakuannya setelah hampir sejam kami bercakap. Dia tahu dia telah melakukan kesalahan dan tidak berani pulang ke rumah kerana tidak mahu menghampakan ibunya. Dia sayang dengan ibunya dan mengharapkan kasih sayang tetapi ibunya terlalu sibuk mencari nafkah.
Dia faham akan tanggungjawab dan pengorbanan ibunya terhadap dirinya dan juga adik lelakinya. Dia juga sedar betapa tinggi harapan ibu kepadanya. Dia anak sulung. Dialah yang diharapkan akan dapat belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berjaya.
Namun apakan daya, sebagai seorang gadis meningkat remaja dia juga mengharapkan kasih sayang daripada ibu bapanya. Bapanya sudah menghilangkan diri entah ke mana sejak dia masih kecil. Ibunya sekadar dapat memberikan keperluan material kepadanya.
Bentuk kasih sayang yang dapat diberikan oleh ibunya adalah sekadar keperluan asas. Pengorbanan ibu untuk anak-anaknya sebenarnya lahir daripada kasih sayang yang amat mendalam. Tetapi anak kecil yang membuat perbandingan dengan orang lain, dengan kawan lain, dengan keluarga lain yang lebih bahagia, merasa kecil hati dengan apa yang apa pada dirinya.
Meminta seorang gadis muda berumur 14 tahun untuk menerima realiti hidup pada usia yang terlalu muda amat kejam. Dia tidak dapat menerimanya. Lalu dia mencari kasih sayang daripada kawan-kawannya, dan berakhir dengan teman lelakinya.
Apabila sudah terlanjur dengan perbuatan diri sendiri ditambah dengan kesempatan yang diambil oleh teman lelakinya, penyesalan sudah terlambat. Apa lagi yang boleh dilakukannya?
Saya sedar dan turut bersedih akan perasaan dan apa yang menimpa dirinya. Saya bertambah sedih memikirkan perasaan ibunya apabila diberitahu keadaan yang sebenar. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana reaksinya nanti.
Tetapi apa lagi pilihan yang lebih baik yang ada untuk kami jika tidak memberitahu perkara ini kepada keluarganya? Nasi sudah jadi bubur. Setelah berbincang dengan pembantu saya dan setelah mendapatkan nasihat daripada pengetua kami, kami mengambil keputusan untuk menelefon ibunya.
Pada ketika itu sudah hampir jam tujuh malam. Semua guru dan pelajar sudah pulang meninggalkan sekolah semenjak jam 6 petang lagi. Hanya kami berempat sahaja yang masih tinggal di sekolah.
Sebentar kemudian ibunya datang dengan seorang lagi ahli keluarga lain yang tidak kami kenali. Dengan hati yang berat kami memaklumkan apa yang kami dapati daripada siasatan kami. Ibunya terkejut besar mendengar apa yang kami katakan.
Kedua beranak itu terus memeluk satu sama lain dan mula menangis. Tugas kami terpaksa dihentikan setakat itu sahaja. Kami tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga mereka. Mereka terpaksa mencari penyelesaian yang terbaik.
Beberapa hari kemudiannya kami dimaklumkan pelajar tersebut telah meminta untuk berhenti sekolah. Teman lelakinya sanggup mengahwininya setelah sedar bahawa jika dia tidak mahu bertanggungjawab dia akan dihukum merogol gadis bawah umur.
Apa yang boleh kami lakukan sekadar mendoakan semoga mereka bahagia. Tetapi doa kami tidak kesampaian. Belum sampai setahun mereka berkahwin mereka telah bercerai. Pelajar perempuan berumur 14 tahun tadi menjadi janda dalam sekelip mata. Teman lelaki atau bekas suaminya terlepas daripada sebarang pendakwaan undang-undang.
Bayangkan masa depan seorang gadis dihancurkan begitu sahaja apabila tersilap langkah. Bayangkan betapa hancurnya hati ibunya yang banyak berkorban untuk anaknya. Menanggung malu barangkali perkara yang kedua tetapi apabila masa depan seorang anak dimusnahkan begitu sahaja bukanlah senang untuk diterima oleh seorang ibu tunggal.
Apa yang terjadi sudah terjadi. Tiada gunanya kita persalahkan sesiapa kerana yang hilang tetap sudah hilang. Tetapi siapakah pula yang akan menjadikan kejadiaan ini sebagai teladan kepada ramai lagi anak-anak muda yang sedang menjejak kasih yang tidak mungkin? Siapakah yang akan memastikan bahawa perkara yang sama tidak berlaku lagi pada anak-anak yang lain?
Biarpun peristiwa ini sudah lama berlalu tetapi apa yang berlaku masih jelas dalam ingatan saya. Ia menyentuh hati saya dengan begitu mendalam sekali. Saya cuma sedar apabila sesuatu yang buruk berlaku biar apapun yang kita lakukan kita tidak dapat mengubahnya.
Biarpun kita sering memberikan nasihat dan memberikan peringatan, sebelum seorang benar-benar terjerat dan terperangkap dalam rasa ingin tahunya sendiri, dia tidak akan dapat memahami betapa nasihat seorang guru atau ibu bapa begitu penting.
Anak-anak muda yang sedang meningkat remaja biasanya terlalu mudah untuk dipengaruhi. Tanpa hubungan yang rapat di antara anak dengan ibu bapa pada waktu ini, satu kesilapan kecil sahaja mungkin membawa padah yang terasa sehingga seumur hidup.
Berapa hari yang lepas apabila saya mengunjungi sebuah syarikat kerana urusan pekerjaan. Salah seorang kakitangan di sana mengecam saya. Katanya dia pernah berjumpa dengan saya beberapa tahun yang lepas. Saya memerhatikan wanita tersebut beberapa ketika tetapi saya tidak dapat mengingati sama ada saya pernah berjumpa dengannya atau tidak.
Dia kemudian memberitahu saya bahawa dia pernah berjumpa dengan saya semasa saya menyampaikan satu ceramah motivasi kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan PMR. "Cikgu Leelah yang best," katanya. Merah muka saya dipujinya.
Dalam sesi motivasi tersebut saya menekankan pentingnya ibu bapa menjalinkan hubungan yang mesra biarpun anak-anak mereka meningkat remaja. Adalah menjadi kebiasaan anak-anak remaja lebih suka berkongsi masalah dengan rakan sebaya mreka.
Bagi saya ibu bapa harus mengambil tahu apa yang anak-anak mereka lakukan di sekolah dan juga di luar rumah. Jika ibu bapa kurang mengambil tahu dengan alasan sibuk maka hubungan mereka dengan anak akan menjadi renggang.
Anak-anak akan beranggapan ibu bapa mereka semakin hari semakin tidak memahami perasaan mereka. Ini secara tidak langsung memaksa anak-anak kita mencari sahabat lain dan mendapatkan kasih sayang yang mereka perlukan daripada orang lain.
Saya juga mencadangkan bahawa salah satu cara untuk merapatkan hubungan di antara anak dengan ibu bapa ialah dengan cara sentuhan secara fizikal dan yang paling baiknya dengan pelukan. Malah saya membuat demonstrasi dengan meminta semua yang hadir bangun dan cuba memeluk diri mereka sendiri.
Saya bertanya kepada mereka apakah perasaan apabila dipeluk. Mereka jawab seronok. Ada yang menjawab merasa diri mereka diperlukan. Kemudian saya meminta mereka berpelukan antara ibu atau bapa dengan anak-anak mereka.
Permintaan saya ini tidak disambut dengan segera. Ramai yang merasa begitu janggal walaupun sekadar memeluk anak mereka sendiri. Setelah permintaan saya diulangi dan diyakinkan bahawa berpelukan begitu sebenarnya satu tanda kasih sayang.
Maka satu demi satu mereka mula mendekati satu sama lain dan mula berpelukan. Percayalah saya tidak pernah melihat keadaan yang begitu terharu sekali. Begitu ramai anak dan ibu bapa yang menangis apabila mereka berpelukan. Pelukan yang begitu lama diharapkan tetapi tidak pernah dizahirkan. Hari ini saya telah berjaya membawakan pelukan yang mereka tunggu-tunggu. Saya sendiri turut menitiskan air mata menyaksikan suasana yang sungguh mengkagumkan.
Saya dapat bayangkan telah sekian lama hubungan yang renggang di antara ibu bapa dengan anak-anak mereka telah menjejaskan komunikasi yang sebenar di antara mereka. Biarpun dengan satu pelukan ini, saya percaya saya telah berjaya merapatkan hubungan mereka. Pastinya hubungan yang baik akan dapat memberikan lebih banyak sokongan dan keyakinan kepada anak-anak mereka untuk menghadapi peperiksaan.
Bagi saya matlamat sesi motivasi saya telah berjaya. Apabila bertemu semula dengan ibu bapa yang pernah mendengar ceramah saya dan diberitahu bahawa anaknya telah berjaya mendapat keputusan yang lebih baik daripada dijangkanya, saya bertumpang gembira.
Saya hanya mengharapkan lebih ramai ibu dan bapa memeluk anak-anak mereka dan begitulah sebaliknya. Biar apa juga keadaan keluarga kita, tidak usah menyalahkan orang lain tentang apa yang berlaku. Kita sendiri dapat memberikan kasih sayang, biar dalam bentuk yang berbeza. Kita sendiri bertanggungjawab untuk mencari kebahagiaan untuk keluarga kita.
Tag :
Sosial
0 Komentar untuk "Usah dibenci - sayangi dan terimalah mereka, "